am@hmetro.com.my
Alor Setar: Seorang wanita tidak dapat menahan kesedihan melihat rumah pusaka keluarganya dan tiga lagi rumah terbakar di Jalan Puyu 5, Taman Wira Mergong, di sini hari ini.
Rosmiza Ahmad, 35, berkata, dia sebelum ini menetap di rumah itu bersama suaminya, Mohd Hazim Naim Che Pi @ Hanafi, 30, sebelum berpindah ke rumah sewa berhampiran kawasan itu, empat bulan lalu.
Katanya, dia dihubungi anak perempuannya yang berniaga tidak jauh dari kawasan perumahan itu pada jam 8 malam yang memaklumkan rumah bapa tirinya terbakar.
“Kami terus bergegas ke sini dan namun dapat melihat kerosakan rumah ini disebabkan pihak bomba masih melakukan pemadaman.
“Saya sedih kerana ada banyak barangan berharga milik keluarga mentua yang disimpan dan musnah.
“Ketika kejadian, abang ipar saya tinggal di rumah ini tetapi dimaklumkan dia sempat melarikan diri ketika kebakaran berlaku,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, penduduk taman itu, Zamadi Ahmad, 50, berkata, pada mulanya kawasan perumahan itu mengalami masalah bekalan elektrik terputus pada jam 7 petang tadi.
Katanya, kira-kira jam 8 malam berlaku kebakaran menyebabkan api marak dengan cepat.
“Masa saya sampai, nampak orang ramai dah penuh di kawasan ini dan kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri keluar dari rumah masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 8.20 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan dibantu BBP Jalan Raja serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan empat rumah yang mana tiga daripadanya musnah 80 peratus dan sebuah lagi musnah 10 peratus.
“Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan berada ketika kebakaran berlaku.
“Setakat ini operasi pemadaman overhaul masih dilakukan di lokasi untuk memastikan api tidak merebak,” katanya di lokasi hari ini.
Ahmad Aminuddin berkata, setakat ini punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd