“Sebab Baby Lelaki, Kita Beri Peluang” – Ain Edruce Serah Tugas Pilih Nama Anak Kedua Pada Suami

“Sebab Baby Lelaki, Kita Beri Peluang” – Ain Edruce Serah Tugas Pilih Nama Anak Kedua Pada Suami

Pelakon, pengacara dan penyanyi, Ain Edruce teruja apabila bercakap soal kandungan keduanya apatah lagi kali ini dia memberi tugas pada suaminya, Amirul Hafiz untuk memberikan nama buat anak kedua mereka yang dijangka akan dilahirkan pada Hari Raya nanti.

Kata Ain ketika ditemui XTRA, peluang itu diberikan kepada Amirul memandangkan sejak jantina bayi diketahui, suaminya itu adalah individu yang paling teruja dan gembira dengan berita tersebut.

“Kali ni sebab baby boy, kita bagi peluang Amirul beri nama. Tapi dia cakap, tunggu baby keluar nanti kita baru cari nama yang sesuai,”katanya.

Ain berkongsi menegnai perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu raya nyanyian duet bersama pelakon dan pengacara popular,  Sherry Al Hadad berjudul ‘Balik Kampung… Gosip Raya’ yang diadakan di pusat membeli belah terkenl di ibu kota pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai nama anak keduanya nanti, Ain bagaimanapun cenderung untuk memilih nama yang ringkas yang hanya mempunyai satu nama sahaja, sebagai contoh nama anak sulungnya, Soraya.

“Bab nama ni, kita pilih yang pendek sahaja macam contoh Soraya.  Sebab nama Amirul dah panjang.

“Pada awalnya saya rasa baby girl, tapi bila dah tahu jantina lelaki tu yang Amiurl teruja.

“Saya rasa dia memang nak anak lelaki tapi tak pernah bagitahu saya,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika disoal mengenai tempoh rehat yang bakal diambil, Ain atau nama penuhnya,  Nurul Ain Edruce, 34, berkata, masa berehat yang diambil mungkin tidak lama dan akan kembali semula bekerja dalam tempoh beberapa bulan sahaja.

“Saya bersedia untuk kurangkan aktiviti seni tetapi tidak berhenti. Saya masih aktif di media sosial seperti biasa.

“Tapi, keutamaan dan fokus saya adalah anak-anak. Kerja jatuh nombor dua,” ujarnya.

Untuk rekod, Ain dan Amirul sah menjadi pasangan suami isteri pada Disember 2019.

Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Soraya yang kini berusia empat tahun.

Scroll to Top