am@hmetro.com.my
Butterworth: Loji Penyahairan Sungai Dua (SDDP) yang memulakan operasinya di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, di sini dengan kos bernilai RM20 juta akan menyelesaikan masalah pemprosesan sisa LRA di Pulau Pinang yang berlarutan sejak 16 tahun lalu.
Malah, ia juga memberi penjimatan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebanyak RM90 juta yang tidak perlu menanggung kos pelupusan terlalu tinggi yang akan memberi kesan kepada pengguna.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) sejak 2009 telah menggesa semua operator bekalan air di negara ini untuk melupuskan sisa LRA, namun kebanyakannya tidak berupaya mematuhi gesaan itu kerana kos pelupusan yang tinggi.
Menurutnya, hampir setiap LRA yang menggunakan teknologi rawatan air konvensional akan menghasilkan sisa sebagai hasil sampingan daripada proses operasinya.
“Sisa ini bukan sahaja memerlukan tempat pelupusan sesuai, tetapi juga pengurusan yang teliti bagi mengelakkan kesan buruk terhadap alam sekitar.
“Pada tahun 2021, dianggarkan semua LRA di Malaysia menjana sejumlah 5,500 metrik tan sisa LRA setiap hari atau kira-kira 2.1 metrik tan setahun.
“Jika PBAPP mematuhi peraturan JAS, ia akan menanggung kos tambahan lebih daripada RM90 juta setahun untuk meluluskan kira-kira 450 metrik tan sisa LRA yang belum diproses dari Sungai Dua dengan anggaran kos RM550 setiap metrik tan yang tambahan ini sudah pasti akan ‘dipindahkan’ kepada pengguna air dalam bentuk kadar air yang jauh lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pembukaan SDDP di LRA Sungai Dua, di sini, hari ini.
Jelasnya, SDDP dibina sebuah syarikat pengurusan sisa berjadual dan rawatan air sisa yang tidak melibatkan sebarang kos tanah.
“PBAPP telah menandatangani kontrak bertempoh 15 tahun untuk memproses sisa LRA di LRA Sungai Dua ini dan akan mengawasi operasi SDDP untuk memastikan kemudahan serta produk akhir mematuhi peraturan JAS,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP berkata, keupayaan SDDP untuk mengendalikan sisa dalam kapasiti yang lebih besar memberi ruang kepada LRA Sungai Dua untuk meningkatkan pengeluaran air terawat di masa hadapan hingga 1,342 juta liter sehari.
“Pembangunan fasiliti ini mencerminkan usaha berterusan Pulau Pinang dalam mencapai matlamat pembangunan lestari, dengan mengutamakan pengurusan sisa yang selamat dan mesra alam seiring dengan peningkatan kapasiti rawatan air,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd