SchaYang sempat bergurau dengan adik sebelum meninggal dunia

SchaYang sempat bergurau dengan adik sebelum meninggal dunia

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: “Dalam tempoh seminggu ini keluarga berada dalam gembira kerana kakak bertemu jodoh dengan pasangan yang serasi dan mempunyai ketinggian lebih darinya pada 30 Januari lalu.

“Namun, malam tadi keluarga bersedih selepas kakak meninggal dunia akibat sesak nafas kerana mempunyai penyakit jantung,” kata Nur Syazwani Najihah Saufi, 18.

Nur Syazwani Najihah adalah adik kepada pempengaruh wanita, Nur Syahirah, 28, atau lebih dikenali sebagai SchaYang yang meninggal dunia malam tadi selepas mengalami sesak nafas.

Katanya, dia terkejut dengan pemergian kakak kerana sebelum itu mereka sedang berbual dan bergurau senda di ruang tamu rumah di Kampung Pengkalan Datu di sini.

“Ketika berbual kakak kata sakit dada dan dia sempat menggosok bahagian itu sebelum pengsan di atas riba saya.

“Kami cuba membantu di samping menghubungi ambulans untuk membawa kakak ke hospital, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan yang hadir,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nur Syazwani Najihah yang juga anak ketiga daripada empat beradik berkata, ketika kejadian suami kakak, Muhamad Syahmi Zulkifli, 27, pulang ke Terengganu kerana perlu bekerja.

Mereka menghubungi suami kakaknya yang terus pulang ke kampung untuk melihat keadaan isterinya.

Katanya, walaupun sedih, namun mereka reda dengan pemergian kakak dan berharap orang ramai mendoakan Allahyarham.

“Jenazah kakak dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sering selepas solat Jumaat hari ini,” katanya yang turut mempunyai sakit jantung.

Menurutnya, mereka empat beradik termasuk kakak diagnosis mengidap sindrom marfan yang diwarisi daripada ibu mereka, Rahimah Yunoh, 53, yang berketinggian 171 sentimeter (cm).

Katanya, mereka sekeluarga mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Terdahulu, SchaYang yang mempunyai pengikut seramai 86,200 di TikTok meninggal dunia jam 11.30 malam di rumahnya di Pengkalan Datu.

SchaYang berketinggian 186 cm berkahwin dengan Muhamad Syahmi yang berketinggian 195 cm pada 30 Januari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top