'Scammer' menyamar jadi pembekal hamper raya

'Scammer' menyamar jadi pembekal hamper raya

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seorang peniaga berputih mata apabila kerugian RM26,100 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta pembekal kurma premium dan coklat.

Kejadian bermula apabila wanita berusia 46 tahun itu menerima mesej menerusi WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang mendakwa kakitangan UiTM Dungun bernama Dahlia.

Mangsa mendakwa Dahlia berminat untuk membuat tempahan sebanyak 135 hamper pada 7 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, Dahlia memaklumkan mangsa bahawa tempahan itu kononnya untuk sambutan Majlis Hari Raya di UiTM Dungun yang akan diadakan semalam.

Beliau berkata, suspek sekali lagi menghubungi mangsa, kelmarin, dan memaklumkan ingin membuat tambahan tempahan buah kurma dan coklat sebanyak 145 unit.

“Mangsa memaklumkan tidak mengenali mana-mana pembekal kurma dan coklat sebelum suspek mencadangkan pembekal kepadanya untuk tujuan berkenaan.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa menghubungi pembekal berkenaan dan bersetuju membuat tempahan dengan bayaran sebanyak RM26,100,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Azli berkata, mangsa menghubungi suspek semalam kerana hamper yang ditempah belum diambil, namun panggilan berkenaan tidak dijawab.

Katanya, wanita terbabit kemudian menghubungi pihak UiTM Dungun sebelum dimaklumkan pihak universiti itu tidak membuat apa-apa tempahan hamper berkenaan.

“Mangsa mengesyaki ditipu sehingga kerugian sebanyak RM26,100. Dia membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, kita turut menerima laporan daripada seorang wanita yang turut menjadi menjadi mangsa penipuan individu yang menyamar sebagai kakitangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kuala Ibai yang kononnya berminat menempah hamper.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top