Saya tinggalkan Petaling Jaya tanpa kesal – Nik Ezanee

Saya tinggalkan Petaling Jaya tanpa kesal – Nik Ezanee

Petaling Jaya: “Saya tinggalkan (Petaling Jaya) tanpa kesal, kerana sudah lakukan yang terbaik untuk warga Petaling Jaya,” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Beliau berkata, pelbagai cabaran dihadapinya bersama pegawai dan anggota sepanjang ‘menjaga’ daerah itu termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sepanjang tahun lalu akibat penularan Covid-19.

“Malah, cabaran itu berterusan sehingga Januari lalu apabila kerajaan mengumumkan PKP 2.0 di Selangor sebelum bertukar ke status PKPB akibat lonjakan semula sehingga mencecah lebih 5,000 kes jangkitan sehari.

“Bagaimanapun, pasukan saya yang berdepan cabaran dalam pelbagai bentuk menguatkuasakan PKP sepanjang 12 bulan lalu berjaya mengharungi kekangan itu dengan kerjasama masyarakat Petaling Jaya serta pengamal media,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Media di Dewan Azam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada pengamal media termasuk tiga wartawan Meja Jenayah Harian Metro.

Nik Ezanee berkata, media juga adalah salah satu pasukan barisan hadapan yang turut meredah cuaca panas terik dan hujan ribut bagi menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

“Malah, pihak media juga sentiasa ada sepanjang masa bersama kami (pihak polis) dan kerjasama ini berjaya membawa mesej serta nasihat yang kami mahu sampaikan kepada warga Petaling Jaya.

“Ini bagi memastikan supaya mereka kekal selamat dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi melandaikan penularan Covid-19,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak media atas kerjasama yang diberikan sepanjang bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya.

“Peranan media sebagai sahabat penyalur maklumat yang telus, tepat dan bernas membolehkan polis sentiasa dekat dengan masyarakat selari dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.

“Saya dengan rendah diri mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya yang bekerjasama melaksanakan setiap rancangan program dan penguatkuasaan tanpa gagal selama lebih setahun lalu,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Nik Ezanee dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner berkuat kuasa 12 April ini.

Jawatan beliau sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya akan diambil alih oleh Superintendan Unit Siasatan dan Pendakwaan Zon Tengah Bahagian Kawalan Kredit Komuniti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Putrajaya, Superintendan Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Scroll to Top