am@hmetro.com.my
Georgetown: Biarpun sudah melebihi had umur untuk menderma darah, seorang doktor gigi sanggup membuat pemeriksaan kesihatan bagi memastikan dia terus menjadi penyumbang bekalan darah kepada yang memerlukan.
Bapa kepada tiga anak, Dr Phoon Kok Keow, 70, juga sanggup menghadiri temujanji bersama doktor pakar jantung bagi mendapatkan pengesahan dirinya benar-benar sihat dan layak menderma darah.
“Sebelum menderma darah, saya berjumpa doktor pakar bagi mendapatkan pengesahan kesihatan dan saya tidak akan berhenti derma darah selagi mampu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dr Phoon berkata, sehingga kini dia sudah menderma darah sebanyak 62 kali sejak tahun 1990 kerana kesedaran dan atas dasar prihatin.
Katanya, selain memastikan kesihatan dalam keadaan baik, dia juga amat menjaga pemakanannya.
“Saya jarang makan di luar (di kedai) dan gemar makan masakan isteri. Setiap pagi, saya mengambil sarapan roti bersama telur.
“Saya kerap melakukan senaman malah aktif dalam sukan berbasikal, berenang dan berlari,” katanya.
Mengulas lanjut Dr Phoon berkata, amalan itu turut menjadi ikutan isterinya, Toh Ai Choo, 63, serta tiga anak tetapi tidak kerap sepertinya.
“Apabila sudah berusia, kita mula sedar kesihatan amat penting dan saya berharap lebih ramai masyarakat dapat menyumbang dan memenuhi keperluan darah di Pusat Tabung Darah sama ada bagi hospital kerajaan atau swasta.
“Harapan saya sempena Tahun Baharu Cina ini ialah supaya golongan muda khususnya, menjaga pemakanan dan kurangkan makanan atau minuman manis.
“Paling penting tidur dan bangun awal serta jangan hisap rokok,” katanya.
Kisah Dr Phoon yang menderma darah di Pusat Tabung Darah HPP Isnin lalu tular di media sosial selepas dimuatnaik di Facebook Derma Darah Penang.
Selain mendapat pelbagai reaksi warga net, kebanyakan mereka juga mahu mencontohi kesungguhan dan tindakannya.
Bagi menderma darah, individu itu perlu berusia antara 18 hingga 65 tahun kepada yang pernah menderma dan sehingga 60 tahun untuk yang belum pernah menderma.
© New Straits Times Press (M) Bhd