'Saya tetap pilih bersihkan nama di mahkamah, doakan saya' – Syed Saddiq

'Saya tetap pilih bersihkan nama di mahkamah, doakan saya' – Syed Saddiq

saadiah_ismail@bh.com.my

Kuala Lumpur: Prosiding rayuan hujah pendakwaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi mengetepikan sabitan empat tuduhan berkaitan dana Armada dihadapinya akan bersambung di Mahkamah Rayuan Putrajaya, esok.

Syed Saddiq dalam perkongsian hantaran di laman sosialnya, berkata beliau tetap memilih untuk membersihkan namanya di mahkamah.

“Esok perjalanan diteruskan. Selepas sebulan tertangguh, prosiding di Mahkamah Rayuan akan bersambung semula.

“Saya tetap memilih untuk membersihkan nama di mahkamah. Bukan dengan jalan pintas, bukan dengan tawaran mudah.

“Prinsip bukan untuk dijual beli. Kebenaran bukan untuk ditangguh-tangguhkan. Segala-galanya kini terserah kepada Allah dan keputusan mahkamah. insha-Allah kebenaran akan tetap menang,” katanya dalam hantaran di laman sosial Facebooknya, hari ini.

Pada 20 Mac lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan menangguhkan prosiding susulan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang sedang berhujah bagi pihak responden tidak dapat meneruskan hujahan selepas beliau tiba-tiba ‘hilang suara’.

Wan Shaharuddin dilapor memaklumkan kepada mahkamah beliau mengalami sakit tekak dan banyak lagi fakta yang perlu dihujahkan di mana beliau memerlukan kira-kira 45 minit untuk menyudahkan hujahan.

Syed Saddiq berkata, lima tahun menunggu dan bersabar, jadi sudah tiba masanya untuk kebenaran dibela.

“Esok adalah hari penentu. Berani kerana benar.

“Saya tidak meminta lebih, doakan saya kerana tiada senjata lebih yang kuat daripada doa kepada Allah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top