'Saya terus berlari, hanya fikir antara hidup dan mati sahaja'

'Saya terus berlari, hanya fikir antara hidup dan mati sahaja'

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Cemas, berdebar-debar dan menggigil. Begitulah situasi menyelubungi rata-rata pekerja di pusat beli-belah di Setia Alam di sini susulan kejadian tembakan malam tadi.

Pekerja premis kecantikan, Aishah Ismail, 20, berkata, lokasi kejadian pada jarak kira-kira 40 meter dari tempat kerjanya ketika kejadian berlaku kira-kira 9.55 malam.

“Saya sedang memberikan sampel pewangi (kepada pelanggan), tiba-tiba terdengar letupan dengan kuat dua kali. Saya tidak tahu bunyi apa ketika itu.

“Saya memandang ke arah pintu menghala ke tangga, saya nampak dua pekerja pembersihan dalam keadaan mencemaskan,” katanya ketika ditemui di pusat beli-belah itu di sini, hari ini.

Apabila terdengar bunyi tembakan ketiga, Aishah melihat pekerja pembersihan yang cedera diusung ke tandas oleh pekerja lain dan ramai orang turut ke tandas.

Aishah berkata, selepas itu orang awam menjerit supaya semua yang di dalam pusat beli-belah itu lari menyelamatkan diri.

Dalam keadaan menggigil dan berdebar ketika itu, Aishah dan rakan sekerja terus lari tidak tentu arah meninggalkan premis tempatnya bekerja serta segala barang peribadi di situ.

“Memang tidak sempat tutup outlet (kedai) malam tadi, hanya telefon pintar sahaja di tangan saya… dokumen lain seperti beg tangan dan kad pengenalan tidak sempat diambil.

“Lebih lima kali bunyi tembakan saya dengar malam tadi… setiap kali bunyi tembakan, saya lari sebab saya takut sekiranya terserempak dengan orang itu (suspek).

“Saya terus berlari dan hanya fikir antara hidup dan mati sahaja ketika itu,” katanya.

Namun, Aishah berkata, dia dan rakan sekerja bersyukur kerana semua barang peribadi yang ditinggalkan dalam keadaan premis perniagaan terbabit terbuka masih selamat.

“Sampai hari ini saya masih menggigil, tetapi sebab saya hendak cari rezeki, saya datang juga… saya masih terbayang-bayang, terngiang-ngiang bunyi tembakan semalam… memang saya tak menjangka berdepan situasi semalam,” katanya.

Sementara itu, seorang penyelia, Uyun Ridhwan, 28, yang bekerja di pusat kecergasan berhampiran lokasi pula berkata, dalam kekalutan itu dia sempat membantu menyelamatkan satu keluarga dengan membawa mereka masuk ke dalam kedainya dan menurunkan pengadang kedai.

“Ketika waktu operasi hampir berakhir, saya bersama pekerja saya sedang buat closing (tutup kedai)… secara tiba-tiba terdengar bunyi tembakan yang pada mulanya kami ingat barang jatuh.

“Bila bunyi tembakan berkali-kali, semua pengunjung berlari-lari dan kami sempat menyelamatkan empat sekeluarga yang kebetulan masuk. Mula-mula suruh menyorok saja, kemudian kami turunkan shutter pengadang kedai.

“Kemudian kami maklumkan pada mereka boleh keluar ikut loading bay (tempat memunggah barang)… lebih selamat sebab itu pintu kecemasan… saya pastikan pekerja saya selamat baru saya selamatkan diri,” katanya.

Seorang pengurus restoran berhampiran yang enggan dikenali berkata, dia sempat menurunkan pengadang kedai demi keselamatan kira-kira 200 pelanggannya yang sedang makan ketika kejadian.

Tinjauan Harian Metro mendapati operasi pusat beli-belah berjalan seperti biasa meskipun jumlah pengunjung tidak begitu ramai hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top