'Saya terlalu rindu ayah'

'Saya terlalu rindu ayah'

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Penerangan dan penyampaiannya yang padat, tepat dan mudah difahami mengenai pelbagai isu semasa berkaitan undang-undang di laman sosial TikTok, memberikan penjelasan yang cukup mudah untuk difahami warganet berhubung isu dibangkitkan.

Malah, kepetahannya dengan lontaran suara yang jelas ketika mengupas sesuatu isu juga menarik perhatian warganet dan secara tidak langsung perkongsiannya juga memberi ruang kepada orang ramai mendapatkan ilmu berkaitan undang-undang.

Di sebalik kehebatan dan ketegasan peguam, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor ini, Harian Metro berkongsi cerita Ramadan beliau.

• Pengalaman tidak dapat dilupakan ketika berpuasa?

• Ketika itu arwah ayah saya (Md Nor Md Din) berada di Mesir dan ketika itu juga saya tinggal bersama nenek dan datuk.

Saya terlalu rindu ayah, jadi saya menangis ketika berbuka puasa dan ketika itu saya berusia kira-kira lapan tahun.

Datuk kemudiannya mengamuk kerana saya menangis di hadapan rezeki hingga naik tangan.

• Pada usia berapa mula berpuasa penuh?

• Ketika berusia tujuh tahun.

• Apakah juadah wajib yang mesti ada di meja berbuka?

• Saya memang kena makan nasi. Nasi dengan telur pun tidak mengapa asalkan ada nasi.

• Apakah cabaran terbesar ketika berpuasa?

• Saya berasa ketika saya mula-mula membesarkan anak susuan, saya mengambil ubat untuk mengeluarkan susu, tetapi ketika itu puasa. Seksa.

• Bazar Ramadan kegemaran dan mengapa?

• Saya suka Bazar Ramadan Paroi Jaya, Seremban. Saya membesar di sana, bagi saya bazar berkenaan makanannya semua evergreen.

Peniaga tidak banyak inovasikan makanan jadi childhood food itu masih ada kalau pergi dan tahu khemah yang mana satu.

• Memori waktu bersahur ketika di zaman kanak-kanak?

• Memori yang paling saya ingat adalah arwah ayah akan bangun paling awal dan menyiapkan juadah sahur.

Selepas itu barulah dia kejutkan kami adik beradik seramai 10 orang untuk bersahur bersama.

• Sajian paling disukai ketika bersahur?

• Ayam goreng. Ketika bersahur saya suka hidangan ringkas dengan cukup sekadar ayam goreng sudah menaikkan selera.

Saya selalunya akan buat perapan awal seperti ayam rempah, ayam cili dan ayam yogurt kemudian akan goreng atau menggunakan penggoreng kering (air fryer) saja.

• Makanan yang cuba dielakkan sepanjang Ramadan?

• Saya makan semua.

• Bagaimana Ramadan kali ini berbeza dengan tahun sebelumnya?

• Berbeza kerana ayah sudah tiada. Ayah saya, Md Nor Md Din meninggal dunia pada 30 Oktober 2014.

• Apakah perubahan positif yang diharap dapat teruskan selepas Ramadan?

• Terus mendidik, terus berbuat baik pada orang dan terus meninggalkan legasi yang baik.

• Apakah kenangan paling berharga ketika solat tarawih?V

• Ayah akan kejut tengah malam untuk jemaah bersama-sama.

• Berapa rakaat biasanya anda lakukan ketika solat tarawih?

• Lapan rakaat.

• Apa petua kesihatan diamalkan sepanjang Ramadan?

Minum air kosong dan jangan terpengaruh dengan resipi manis-manis.

• Lebih suka berbuka puasa di rumah, gerai atau secara berbufet?

• Saya akan masak setiap hari.

• Sudah buat persiapan raya atau belum?

• Tahun ini saya akan berpuasa 10 Ramadan terakhir di Makkah dan Madinah kemudian terus menyambut Aidilfitri, jadi persiapan saya lebih kepada persiapan umrah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top