Pelakon Azira Shafinaz terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang trofi Festival Filem Asia Pasifik ke-61 (FFAP 61) untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Berjaya menewaskan bintang-bintang Asia Pasifik lain, Azira berjaya meraih kejayaan menerusi karakternya dalam filem Indera arahan Woo Ming Jin.
“Saya terkejut dan teruja dapat meraih trofi ini. Saya diberitahu, filem lakonan saya, Indera menjadi filem pembuka untuk festival berprestij ini, jadi saya hadir memberikan sokongan.
“Saya tak jangka langsung yang saya tercalon. Bila menang tu, saya rasa terkejut. Sejujurnya, saya tak letak sebarang harapan pun sebenarnya. Apabila menang, saya sangat bersyukur, Alhamdulillah,” katanya.
Teruja menantikan filem itu ditayangkan di Malaysia, Azira mahu berusaha lebih gigih selepas memenangi anugerah berprestij ini.
“Filem ini menampilkan gandingan saya bersama Shaheizy Sam dan ramai lagi. Ia menjalani penggambaran ketika pandemik. Alhamdulillah, saya berjaya membentuk keserasian yang baik bersama pengarah dan pelakon.
“Filem ini menampilkan sisi berbeza dan memerlukan emosi serta ekspresi yang cukup kuat berbanding dalam mana-mana filem lakonan saya sebelum ini. Saya teruja menanti filem ini ditayangkan kelak.
“Saya tak akan cepat rasa puas dengan pencapaian ini. Banyak perkara lagi yang harus saya pelajari walaupun sudah 10 tahun berada dalam industri hiburan,” katanya.
Terdahulu, Azira pernah memenangi trofi Pelakon Wanita Komedi Terbaik pada Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA) yang berlangsung tahun lalu menerusi lakonannya dalam drama bersiri Ijab Kabut yang bersiaran di Viu.