am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menafikan sekeras-kerasnya pandangan pihaknya menidakkan syor dan teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) susulan Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Hameed Dawood dibenarkan kembali bertugas di agensi terbabit.
Beliau berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap HRD Corp, beliau tidak sesekali mengambil pendekatan ‘menuding jari’, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menentukan sekiranya terdapat kesalahan dilakukan oleh mana-mana individu.
“Tak benar sama sekali ulasan, pandangan dan kritikan sama ada oleh Ketua Audit Negara atau PAC ditidakkan. Malah, Kesuma (Kementerian Sumber Manusia) jadi kementerian pertama dalam sejarah buat laporan kepada pihak berkuasa, iaitu SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ) susulan Laporan Ketua Audit Negara.
“Perlu diingatkan, teguran PAC dan Laporan Ketua Audit Negara adalah ketika pentadbiran dahulu. Tugas saya adalah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan, semuanya sudah dilakukan.
“Tugas seterusnya adalah meneruskan reformasi untuk perbaiki tatakelola sedia ada, ini juga sudah dijalankan,” katanya.
Malah, tegasnya, reformasi ini sudah dimulakan sejak Ahli Parlimen Batu Gajah, V Simvakumar menerajui kementerian itu.
“Ini dah dimulakan (reforamsi) dari zaman saudara Sivakumar, supaya kita boleh mengelakkan kepincangan dan hasilnya, pencapaian tahun lalu menunjukkan HRD Corp berjaya kutip levi dan kelulusan penggunaan levi tertinggi. Bagi latihan 1.5 juta pekerja, berlaku kenaikan hampir 20 peratus berbanding sebelum ini, pendapatan turut meningkat.
“Kerana itu saya katakan, no one will be save (tak ada siapa akan selamat) kalau buat salah, kita akan biarkan pihak berkuasa iaitu SPRM tentukan dalam hal ini, jika keluar laporan (salah laku) kita akan minta tindakan sekeras-kerasnya,” katanya ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih atas Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini mewakili Kesuma.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang mempersoalkan keputusan membenarkan CEO HRD Corp kembali bekerja sedangkan jelas laporan Ketua Audit Negara menunjukkan berlaku ketirisan dalam tatakelola membabitkan agensi berkenaan.
November tahun lalu, Simmengesahkan CEO HRD Corp kembali bertugas di agensi terbabit.
Katanya, sebelum ini Shahul Hameed mengambil cuti bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan susulan teguran yang dibuat terhadap syarikat kerajaan itu dalam Laporan Ketua Audit Negara 2/2024.
Sim turut menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mendakwa menerima maklumat bahawa gaji beberapa Ketua Pegawai Eksekutif membabitkan beberapa agensi di bawah Kesuma mencecah RM90,000 hingga RM120,000 sebulan.
Rayer berkata, ia membabitkan gaji CEO Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), HRD Corp dan Talent Corp.
“Soal gaji ini tidak ditentukan pada zaman saya jadi menteri, keduanya saya boleh berikan (perincian gaji CEO terbabit).
“Saya akan minta pegawai untuk berikan breakdown (perincian). Ini supaya kita dapat bertindak secara adil kepada pegawai yang bertugas bukan sahaja dalam GLC tetapi badan berkanun.
“Kita akan berikan maklumat yang betul, bukan maklumat yang sekadar ‘dengar-dengar’ sahaja,” katanya.
Pada Julai tahun lalu, SPRM menyiasat HRD Corp susulan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 berikutan ada beberapa keputusan diambil agensi itu didakwa tidak mematuhi prosedur dan menjaga kepentingan dalam mencapai fungsi penubuhan syarikat.
Sebelum itu, PAC mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan oleh program latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai kegiatan pelaburan.
© New Straits Times Press (M) Bhd