Saya tak halalkan pihak ciplak produk saya – Wawa Zainal

Saya tak halalkan pihak ciplak produk saya – Wawa Zainal

KUALA LUMPUR –  “Sampai sekarang saya masih geram. Saya memang takkan halalkan pendapatan diperoleh mereka hasil daripada menjual produk ciplak Sunscreen Wawa Cosmetics.”

Demikian tegas pelakon dan usahawan terkenal, Wawa Zainal susulan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menjual produk tiruan Wawa Cosmetics di pasaran terbuka.

Wawa, 32, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berkata, dia menyedari perkara selepas mendapat aduan daripada reseller dan pengguna.

“Akhirnya mimpi buruk yang dialami peniaga lain terjadi pada saya. Selama ini saya hanya mendengar masalah usahawan lain apabila produk mereka diciplak. Tindakan mereka sangat jahat dan begitu berani seolah-olah produk itu milik mereka.

“Apa yang saya lebih risaukan adalah soal kesihatan pengguna yang sudah membeli produk tiruan itu. Saya takut jika terjadi apa-apa pada mereka hingga memudaratkan kulit. Perkara sebegini memang tidak difikirkan oleh pihak yang menjual barang tiruan. Mereka tahu nak duit dan untung saja.

“Tidakkah mereka sedar perbuatan itu salah? Berhentilah menganiaya orang ramai. Kalau tak ada duit, carilah kerja halal lain. Jangan mencuri hasil titik peluh orang,” katanya yang juga pengasas produk itu.

Menurut Wawa yang juga penaja program Big Stage musim kelima, pihaknya sedang berusaha untuk mengesan pihak tidak bertanggungjawab itu sebelum menyerahkan kepada pihak berkuasa.

“Sekarang ini saya dan pasukan sedang giat memberitahu semua ‘re-seller’ dan pengguna khususnya macam mana nak bezakan produk asli dan tiruan. Saya berharap mereka jelas dan tidak terpedaya.

“Walaupun produk Wawa Cosmetics dijual di semua platform dalam talian, tapi ciri-ciri khas seperti kod bar, warna dan kualiti kandungan tetap diutamakan. Insya-Allah, perkara ini juga kami akan bawa ke depan agar ia tidak berulang lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top