am@hmetro.com.my
Marang: “Saya tahu anak saya sudah tiada selepas anak saudara bagi tahu orang datang tutup kain putih,” kata Roslinda Zakaria, 43.
Roslinda adalah ibu kepada Ahmad Farid Izwan Mohd, 24, yang maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 45, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, dekat Pasir Putih, petang semalam.
Dia berkata, dia mengetahui kemalangan menimpa anaknya selepas dimaklumkan anak saudara, Muhammad Afiq Izzudin Anuar, 28, yang melihat kejadian itu sejurus kemalangan berlaku jam 4.30 petang.
Menurutnya, anak saudara bersama arwah anak dalam perjalanan pulang dari Cheneh, Kemaman ke rumah sewa mereka di Kampung Kelulut, di sini.
“Anak saudara yang naik kenderaan berasingan berada di belakang kereta dinaiki arwah anak dan melihat dengan jelas kejadian itu sebelum dia menghubungi saya memaklumkan kereta dinaiki Iwan terbabas dan langgar pokok.
“Ketika itu, dia (anak saudara) belum pasti keadaan Iwan dan selepas orang tutup kain, baru dia bagi tahu saya yang Iwan sudah meninggal dunia,” katanya yang mendapat perkhabaran duka itu ketika dalam perjalanan ke hospital.
Roslinda berkata, dia reda dengan pemergian anak kedua daripada enam beradik itu walaupun sedih dengan pemergiannya secara tiba-tiba.
Katanya, kali terakhir dia bertemu arwah pada pagi Sabtu lalu di rumahnya di Kampung Durian Guling, di sini, sebelum pulang semula ke rumah sewa jam 3 petang.
“Arwah dan anak saudara bekerja sebagai jurujual dengan sebuah syarikat pemasangan kepala gas dapur dan mereka tinggal di rumah berkenaan yang disewa oleh syarikat tempatnya bekerja.
“Arwah juga tidak menunjukkan perubahan yang ketara sepanjang berada di rumah namun raut wajahnya ketika itu seolah-olah berat untuk meninggalkan rumah ketika mahu pulang semula ke rumah sewa selain kurang bercakap dan banyak termenung,” katanya.
Jenazah Ahmad Farid Izwan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Guling jam 10 pagi tadi.
Media semalam melaporkan dua jurujual maut selepas MPV yang dinaiki bersama dua lagi rakan mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 45, Jalan Kuala Terengganu – Kuantan, dekat Pasir Putih, di sini.
Kejadian itu menyebabkan Ahmad Farid Izwan dan Muhammad Amir Ikmal Hashim, 20, dari Perumahan Dato Shah Bandar, Pekan Pahang meninggal dunia di lokasi kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd