'Saya tahu ada dua tiga lagi MRSM hadapi perkara sama, mereka tahu siapa mereka'

'Saya tahu ada dua tiga lagi MRSM hadapi perkara sama, mereka tahu siapa mereka'

am@hmetro.com.my

Ipoh: “Saya tahu dia (pengusaha dewan selera) mungkin rasa dia ada kabel besar, tetapi saya tak kira kabel sebesar mana sekalipun, kalau membabitkan soal nyawa dan kesihatan pelajar, saya tidak akan berkompromi, saya akan ambil tindakan.”

Demikian kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengulas mengenai ketidakpatuhan pengusaha dewan selera di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping yang dikatakan culas hal kebersihan, selain melanggar kontrak berkaitan penyediaan menu makanan pelajar.

Asyraf berkata, beliau tidak gentar mengambil tindakan kepada pengusaha dewan selera sebegitu kerana memikirkan soal amanah yang dipertanggungjawabkan ke atasnya selaku Pengerusi Mara.

Beliau turut mengakui wujud trend dalam kalangan kontraktor dilantik di semua 57 MRSM seluruh negara yang tidak menyediakan makanan seperti sepatutnya mengikut kontrak, khususnya apabila tempoh kontrak mereka hampir tamat.

“Saya tidak gentar dengan sesiapa, kerana ini soal amanah. Dalam hal ini siapa pun boleh menggambarkan dia ada kabel yang besar setara mana sekalipun, itu kami tidak hairan.

“Saya tahu ada dua tiga lagi MRSM yang menghadapi perkara yang sama, mereka tahu siapa mereka,” katanya pada sidang media khas isu itu di sebuah hotel di sini malam ini.

Beliau berkata, dakwaan pengusaha dewan selera itu bahawa dia tidak terbabit dengan insiden keracunan makanan Oktober tahun lalu kerana ketika itu dia menyerahkan kontrak kepada kontraktor kecil atau secara subkontrak.

“Perbuatan subkontrak itu melanggar kontrak. Kontrak pengusaha itu sepatutnya berakhir Disember ini.

“Jangan ingat kita tak boleh mengambil tindakan mahkamah kepada mereka, juga bon mereka lima peratus kita akan ambil, dalam konteks (kes) ini hampir RM200,000 kita boleh lupuskan,” katanya.

Katanya, dewan selera itu sudah diarahkan tutup dua minggu hari bermula hari ini hingga 20 September depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd