am@hmetro.com.my
Seremban: Kesesakan katil luar biasa di wad Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) mencetus kebimbangan orang ramai yang mahu mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
Tinjauan wartawan di ruangan Pendaftaran Kecemasan tadi mendapati ramai dikalangan pesakit tidak dapat diletakkan di wad sepatutnya akibat bilik wad penuh.
Menurut pesakit, Abdul Wahab Harun, 51, dia sepatutnya dimasukkan ke wad selepas mengalami luka teruk di kaki akibat terluka dan mengidap kencing manis.
“Kaki saya di bahagian tumit luka akibat kecederaan kemalangan dan lebih parah lagi luka itu semakin dalam akibat penyakit kencing manis dihidapi sejak lima tahun lalu.
“Saya datang sendiri dengan menaiki motosikal untuk menerima rawatan sebelum dimaklumkan perlu ditahan di wad. Namun sudah lebih lima jam saya tersadai di sini berikutan wad sudah penuh,” katanya yang datang dari Rembau.
Seorang lagi pesakit, Ruminah Abu Hassan, 49, meluahkan rasa pelik
apabila dimaklumkan wad sudah penuh oleh pegawai perubatan hospital berkenaan.
“Doktor memberitahu saya perlu ditahan di wad akibat penyakit dalam perut. Namun saya perlu menunggu dahulu berikutan katil wad sudah penuh,” katanya.
Pesara tentera, Mohd Radzi Ahmad, 53, turut terkejut selepas dimaklumkan pegawai perubatan yang bertugas bahawa wad pesakit sudah penuh.
“Pihak hospital meminta pesakit menunggu bagi mendapatkan katil kosong.
“Senarai menunggu sudah ramai dan dalam masa sama pesakit yang mendaftar semakin bertambah setiap jam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd