'Saya sentiasa telus, tiada apa hendak diselindungkan'- Najib

'Saya sentiasa telus, tiada apa hendak diselindungkan'- Najib

ajohari@bh.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, beliau sentiasa telus berhubung dana yang dimasukkan dalam akaun peribadi Ambanknya.

Najib yang memberikan keterangan bela diri di Mahkamah Tinggi hari ini, menegaskan dana itu dibelanjakan mengikut kepercayaan diberikan kepadanya oleh Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saudi.

“Dana itu) untuk tujuan politik dan tanggungjawab sosial korporat. Tiada apa saya hendak selindungkan,” katanya.

“Saya merekodkan semua perbelanjaan dengan teliti dengan membuat semakan terhadap akaun AmIslamic saya untuk memastikan ketelusan dan dokumentasi yang betul,” katanya.

Najib berkata demikian ketika membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Najib berkata, apabila dimaklumkan akan menerima dana sumbangan daripada Raja Abdullah, beliau segera memaklumkan Bekas Pengarah Urusan AmBank, Cheah Tek Kuang mengenainya apabila membuka akaun di bank itu.

Menurut Najib ia adalah satu langkah yang tidak wajib diambilnya, terutamanya ketika itu, beliau ditakrifkan sebagai orang individu yang terdedah dari segi politik.

Najib yang membacakan pernyataan saksinya pada sesi pemeriksaan utama, berkata beliau juga meminta Tek Kuang memaklumkan Bank Negara Malaysia (BNM), dan Tek Kuang kemudian memberitahu Gabenor BNM ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sekali lagi menegaskan, beliau tidak mengetahui mahupun terbabit dalam salah laku dan penyelewengan dana 1MDB, sebaliknya ia adalah semata-mata didalangi oleh pelarian dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan beberapa individu dalam pengurusan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Najib berkata beliau mendapati ia merisaukan bahawa pendakwaan mengetepikan bukti jelas mengenai pembabitan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas peguam 1MDB Jasmine Loo, serta yang lain yang bersekongkol dengan Jho Low untuk menyalahgunakan wang daripada entiti milik kerajaan itu.

“Bagi saya, ini amat meresahkan kerana ia menunjukkan bahawa peranan utama mereka dalam kes itu bukanlah untuk mencari kebenaran tetapi untuk memutarbelitkannya dengan memberikan keterangan palsu.

“Mereka juga mengaitkan saya dan nampaknya pendakwaan ini bermotifkan politik yang bertujuan untuk semata-mata untuk memastikan saya disabitkan.

“Ini bukan usaha untuk mencari kebenaran atau keadilan yang tulen. Sebaliknya, ia adalah usaha untuk menutup mulut saya sebagai lawan politik dan memastikan penguasaan berterusan mereka untuk kekal berkuasa,” katanya.

Perbicacaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah sedang berlangsung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top