‘Saya rasa saya akan kekal di JDT sampai bila-bila’ – Arif Aiman

‘Saya rasa saya akan kekal di JDT sampai bila-bila’ – Arif Aiman
Arif Aiman merangkul Anugerah Pemain Paling Bernilai, (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025 di Astro Bukit Jalil.

Arif Aiman merangkul Anugerah Pemain Paling Bernilai, (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025 di Astro Bukit Jalil.

BINTANG sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Mohd Hanapi menyatakan hasratnya untuk terus kekal bersama kelab gergasi tanah air itu di sebalik persembahan cemerlangnya yang dianggap mampu menggegar liga luar negara.

Pemain sayap lincah itu berkata, cabaran dihadapi bersama JDT tidak kurang hebatnya, sekali gus dia mahu terus bersaing dan menabur bakti bersama Harimau Selatan.

“Bukanlah saya nak cakap bermain di luar negara itu tidak bagus, tetapi bagi saya cabaran di JDT dan di Malaysia tetap sukar. Saya memang memasang impian untuk terus kekal bersama JDT.

“Namun saya juga sedar bukan mudah untuk berada di JDT selamanya. Saya perlu bekerja keras dan buktikan kemampuan,” katanya.

Pemain berusia 23 tahun itu mencipta sejarah apabila merangkul anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) kali keempat berturut-turut dan mengatasi rekod dipegang bekas penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha yang merangkul hatrik pada musim 2010 hingga 2012.

Beliau turut mendominasi tiga lagi kategori iaitu Pemain Tengah Terbaik, Gol Terbaik Liga Malaysia (Liga-M) 2024-2025 dan juga Fans XI (Penyerang).

Arif Aiman turut mengulas khabar angin mengenai tawaran dari kelab luar negara, namun menegaskan beliau realistik terhadap peluang pemain tempatan untuk menembusi pasaran bola sepak antarabangsa.

“Mungkin penyokong atau media bercakap tentang tawaran dari luar, tetapi sebagai pemain, saya tahu betapa sukarnya untuk kelab-kelab luar mencari pemain dari Malaysia.

“Sebab itu saya rasa saya akan terus berada di JDT sampai bila-bila dan akan terus bekerja keras demi pasukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kejayaan diraihnya pada ABK itu, beliau tidak mahu berpuas hati sebaliknya mahu terus tampil lebih baik musim depan.

“Menang anugerah ini penting untuk saya bukan berhenti di sini sahaja dan akan teruskan persembahan lebih baik pada musim-musim akan datang.

“Saya akan sentiasa bekerja keras dan anugerah ini akan beri motivasi untuk saya tingkatkan lagi prestasi saya,” katanya.

Scroll to Top