‘Saya percaya rezeki ALLAH’ – Dhabitah

‘Saya percaya rezeki ALLAH’ – Dhabitah
‘Saya percaya rezeki ALLAH’ – Dhabitah

Dhabitah bersyukur dengan pencapaiannya mara ke final Sukan Olimpik 2024 di Paris. Foto Instagram Nur Dhabitah.

BIARPUN menjalani persiapan dalam tempoh singkat, penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri bersyukur selepas sasarannya untuk melangkah ke pentas akhir acara 3 meter papan anjal individu Sukan Olimpik 2024 di Paris berjaya digapai.

Malah Dhabitah yang beraksi di atas tiket wildcard mengakui ia bukan persembahan terbaiknya, namun berjaya mara ke saingan akhir.

“Ini bukan persembahan terbaik, tetapi saya berjaya ke final. Meskipun pada awalnya saya menjangkakan tidak berjaya ke pusingan separuh akhir dengan sesi latihan yang singkat.

“Saya sudah mencapai sasaran untuk melangkah ke pusingan akhir ini. Saya harus bersyukur,” katanya.

Dhabitah memulakan saingan di pentas final dengan baik menerusi dua terjunan awal yang memberikan 123 mata secara keseluruhan untuk berada di kedudukan ketiga.

Begitupun, harapan untuk melihat Dhabitah memperbaiki pencapaian terbaiknya berada di kedudukan empat terbaik di Sukan Olimpik Tokyo sukar apabila menamatkan saingan untuk berada di kedudukan ke-12.

Menyentuh mengenai perancangan selepas temasya terbesar itu berakhir, Dhabitah meluahkan hasrat untuk berehat seketika bagi mendapatkan kembali prestasi terbaiknya.

“Saya tidak akan mengalah dan percaya ada perkara lagi bagus yang ALLAH nak beri. Ujian ini untuk saya lebih tabah. Satu kesilapan (ketika terjunan), namun banyak benda positif, saya harus bersyukur.

“Saya belum tahu, mungkin berehat seketika. Fikirkan diri sendiri dan kembali kepada diri sendiri (prestasi terbaik sebelum ini),” katanya.

Di sebalik pencapaiannya tersebut, penerjun berusia 25 tahun itu menghargai usaha dan bantuan pasukan di belakang tabir.

“Sokongan dan semangat daripada jurulatih dan pasukan membantu saya dalam terjunan terakhir. Berada di sini adalah perkara yang patut saya bersyukur.

“Kami (atlet) juga sangat hargai sokongan peminat dan bersyukur dengan perhatian semua. Kami akan buat yang terbai (buat negara).

“Saya percaya dengan rezeki ALLAH,” ujar Dhabitah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Scroll to Top