Saya pemain terhebat dalam sejarah bola sepak – Ronaldo

Saya pemain terhebat dalam sejarah bola sepak – Ronaldo

CRISTIANO Ronaldo telah menggelarkan dirinya sebagai pemain terhebat dalam sejarah bola sepak dalam satu wawancara dengan sebuah media di Sepanyol.

Penyerang Portugal itu menjelaskan, statistik jaringan yang dilakukannya membuktikan dia sebagai pemain paling lengkap dalam sukan bola sepak.

“Saya adalah pemain terbaik dalam sejarah bola sepak. Saya tidak pernah melihat sesiapa yang lebih baik daripada saya dan saya mengatakan ini dari hati saya,” katanya.

Kapten Al-Nassr itu sedar bahawa ramai peminat memihak kepada seorang lagi pemain yang juga dianggap terhebat dalam sejarah bola sepak iaitu Lionel Messi tetapi dia tetap mengekalkan pendirian bahawa dirinya sukar untuk dicabar pemain lain.

“Saya melakukan segala-galanya dengan baik dalam bola sepak seperti tandukan, sepakan percuma, menggunakan kaki kiri dan kaki kanan. Saya pantas dan kuat.

“Jika anda lebih suka Messi, Pele atau Maradona, saya menghormatinya. Tetapi mengatakan Ronaldo tidak lengkap? Saya tidak pernah melihat orang yang lebih baik daripada saya,” katanya.

Messi telah menjaringkan 850 gol dalam kerjaya menduduki tempat kedua dalam senarai sepanjang masa, 73 gol di belakang Cristiano Ronaldo yang telah meledak 923 gol.

Ronaldo juga telah mendahului carta penjaring gol antarabangsa dengan 135 gol untuk Portugal, manakala Messi mempunyai rekod 112 gol untuk Argentina.

Malah, pemenang Ballon d’Or lima kali itu juga kekal sebagai atlet dengan bayaran tertinggi dalam bola sepak mendahului senarai Forbes 2024 dengan pendapatan luar biasa selain pengikut media sosialnya yang cukup ramai.

Ketika dia menghampiri hari lahirnya yang ke-40, ikon Portugal itu juga menyatakan dia tidak bercadang untuk bersara dari kelab atau bola sepak antarabangsa dalam masa terdekat.

Scroll to Top