'Saya minta maaf… perlukan sedikit masa sahaja lagi' – Kim Seri

'Saya minta maaf… perlukan sedikit masa sahaja lagi' – Kim Seri

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pempengaruh, Kim Seri memohon maaf sekali lagi kepada pelanggan terkesan dengan trip dan pakej pelancongan di bawah syarikat miliknya sebelum ini kerana belum dapat membuat pembayaran semula seperti yang dijanjikan.

Kim Seri atau nama sebenarnya Seri Azlina, 40, berkata, dia memerlukan sedikit masa untuk membuat pembayaran balik kepada pelanggan dan sedang berusaha melangsaikannya.

“Kepada semua yang menanti 1 Februari, mohon maaf kerana terlambat untuk kongsi perkembangan.

“Sekali lagi saya meminta maaf kerana mengambil sedikit masa untuk selesaikan pembayaran balik, saya perlukan sedikit masa sahaja lagi dan akan berusaha lebih lagi untuk selesaikan semua pembayaran semula.

“Mohon maaf semua kerana terpaksa menunggu,” tulisnya menerusi hantaran di Instastory (IG) hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial video luahan seorang individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan Kim Seri dan perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata bersimpati serta meminta mangsa membuat laporan polis.

Sebelum ini media melaporkan, polis menerima 24 laporan berhubung individu mendakwa menjadi mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul, Korea Selatan yang dikendalikan usahawan yang juga pempengaruh membabitkan kerugian mencecah RM454,450.

Dalam satu kenyataan dimuat naik di IG Story miliknya pada 17 Disember lalu, Kim Seri memohon maaf kepada pelanggan terkesan dengan trip pelancongan yang tertunda di bawah syarikat miliknya.

Wanita itu memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan wang kepada pelanggan yang terbabit sebelum atau pada 1 Februari (kelmarin).

Menerusi satu sesi penstriman langsung di TikTok sebelum ini, Kim Seri tampil memberi penjelasan mengenai masalah berkenaan bagi menjawab persoalan orang ramai selepas kisahnya tular.

Kim Seri mendakwa kelemahan pengurusan, peningkatan kos dan kegagalan menguruskan kewangan perniagaan menjadi faktor isu berkenaan berlaku serta memohon maaf sekali lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top