Penyanyi terkenal, Shila Amzah atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah menegaskan duit bukanlah tujuan utama dia menyertai Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).
Menurut laporan Berita Harian, asbab dia melibatkan diri dalam program realiti tersebut adalah untuk mengembangkan lagi bakatnya dalam bidang nyanyian malah, ia merupakan salah satu platform sesuai untuknya belajar sesuatu yang baharu.
“Saya masuk GV9 bukan sebab duit. Ini kerana saya melihat program realiti ini boleh menjadi platform yang sesuai untuk seseorang penyanyi berkarya.
“Sebelum ini, saya menyertai pertandingan seperti The Masked Singer dan Anugerah Juara Lagu, tetapi kedua-dua pertandingan itu mempunyai konsep berbeza,” katanya.
Ujarnya, menyertai program itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana setiap minggu dia perlu memberi persembahan yang terbaik kepada penonton.
Tambahnya lagi, penyertaannya dalam program itu juga kan membantu dirinya untuk menjadi lebih yakin, secara tidak langsung akan memberi kepuasan kepada dirinya.