PETALING JAYA: Legenda penyiaran negara, Datuk Harjit Singh Hullon berkongsi pengalaman menguruskan keluarga walaupun pernah sibuk dengan tugasan sebagai pemberita dan penyampai berita sejak zaman bekerja dahulu.
Harjit berkata, tanggungjawab terhadap keluarga tidak boleh diabaikan sekalipun tugas di pejabat menjadi keutamaan dengan memastikan pengurusan masa yang betul.
“Masa mula-mula berkahwin, saya pun masuk dapur bantu isteri cuci pinggan, bersihkan rumah, tolong isteri masak serta pergi ke pasar beli barang keperluan harian.
“Isi masa terluang dengan keluarga dan habiskan masa dengan anak-anak. Jangan sesekali abaikan tanggungjawab kepada ahli keluarga kerana kebahagiaan di rumah menandakan kita akan bahagia di tempat kerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Harjit yang bersara dari RTM sejak 2011 mempunyai seorang isteri, dua anak dan dua cucu.
Dikenali dengan kelebihan pertuturan diksi yang sempurna dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris, Harjit memulakan perkhidmatan di RTM pada 21 November 1971.
Bakal menjengah usia 70, tahun ini, Harjit bersyukur kerana beliau tidak menghidap sebarang penyakit.
Katanya, berkat mengamalkan gaya hidup sihat sejak zaman muda membuatkan dirinya masih cergas sehingga sekarang.
“Setiap pagi saya akan keluar berjalan dalam tiga ke empat kilometer dan melakukan senaman ringan.
“Bila makin berumur kita tak boleh makan terlalu banyak, jadual makan pun perlu jaga dan jangan lewat maka,” kongsinya.