“Saya Masih Ingat Pesan Ayah Jangan Pernah Curang & Menyakiti Isteri”- Fattah Amin

“Saya Masih Ingat Pesan Ayah Jangan Pernah Curang & Menyakiti Isteri”- Fattah Amin

Selepas perkongsian ingin menjadi muslim terbaik dan taat pada perintah Allah SWT, pelakon Fattah Amin kembali mencuri tumpuan selepas sepotong lagi video pendeknya tular di platform TikTok.

Menerusi perkongsian tersebut, Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, berkata, ayahnya sering menitipkan pesanan agar tidak berlaku khianat dan menyakiti isteri termasuklah berlaku curang.

“Ayah pernah pesan masa saya nak kahwin mula-mula dulu, untuk tidak berlaku tidak baik terhadap isteri.

“Jangan pernah khianat terhadap isteri atau curang kepadanya,” kongsinya.

Percaya setiap kesalahan pasti akan menerima balasan, Fattah memaklumkan, Allah SWT pasti akan membalasnya sama ada cepat ataupun lambat.

“Bila buat benda yang tak baik, jangan fikir kita akan dapat balasan.

“Sebab apa sahaja benda tak baik yang kita buat pada diri kita, pasti akan dapat balasan.

“Balasan tu sama ada dapat ‘cash’ dekat dunia ataupun dekat akhirat kelak,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu berkata, ayahnya juga berpesan agar dia tidak mudah patah semangat meskipun menerima pelbagai komen negatif.

“Ayah juga ada pesan pada saya yang kita ni hidup bukan untuk puaskan hati orang.

“Pertama sekali, apa yang kita buat adalah kerana Allah dan keduanya adalah untuk diri kita.

“Apa saja yang orang cakap mengenai kita, abaikan saja. Teruskan hidup dan sentiasa kuatkan semangat,” jelasnya.

Difahamkan video tersebut kembali tular dan dikongsikan semula oleh peminat selepas krisis rumah tangganya bersama bekas isteri, Fazura terlerai.

Untuk rekod, Fattah dan Fazura sah bercerai talak satu pada 7 Oktober lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.

Scroll to Top