KUALA LUMPUR : Pelakon dan selebriti serba boleh tanah air, Didie Alias, 50, tidak berkecil hati jika ada pihak yang melihat dirinya rancak bermain dan menghasilkan video hiburan pendek di Tik Tok.
Menurut Didie, dia sedar ada yang melihat dirinya tidak sesuai beraksi galak menari di Tik Tok sementelah sudah bergelar nenek di usia kini.
“Saya harap orang tidak salah fahamlah. Memang saya dah bergelar nenek, tapi apa salahnya saya cuba menghiburkan orang dan peminat yang mengikuti di media sosial.
“Sekarang ini dengan semua orang terpaksa berkurung di rumah, tentunya ramai yang tertekan. Maklumlah dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan ini. Niat saya cuma nak hiburkan orang, bagi semua orang tersenyum sikit.
“Dengan segala macam perihal yang sedang berlaku sekarang termasuk kes bunuh diri kerana tekanan, ini adalah cara saya cuba menyuntik hiburan sedikit buat mereka. Saya tak minta bayaran pun…” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi semalam.
Selain itu, kata Didie, dia juga tidak mempunyai masalah untuk merakamkan video itu kerana anak-anak dan suaminya juga membantu dan menyokong usahanya itu.
“Anak-anak saya semua faham, ibunya ini memang seorang yang gila-gila dan suka menghiburkan orang. Tak ada isulah,”katanya.
Dalam pada itu, Didie juga mengaku masih lagi fobia untuk keluar rumah tanpa sebarang tujuan penting meski kerajaan sedikit demi sedikit memberi kelonggaran untuk orang ramai bergerak dan melakukan aktiviti.
Ini termasuk sektor perfileman dan penggambaran industri seni yang dibenarkan untuk menyambung penggambaran tergendala sebelum ini sahaja.
“Saya ada tugas yang perlu diselesaikan menerusi penglibatan sebagai hos rancangan berbentuk infotainment di Awesome TV. Tapi semua yang perlu masuk ke studio juga mesti mematuhi beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ujian calitan menjadi satu kemestian dan kami juga perlu mengikuti SOP yang lebih ketat. Tapi saya ini pun sebenarnya masih takut lagi untuk keluar ke mana-mana.
“Kalau ada kawan datang rumah untuk hantar barang dan sebagainya pun, saya awal-awal beritahu jaga jarak dan jangan bersalaman. Terpaksalah sambut sambil menunduk macam penyambut tetamu,”katanya.