Realiti perubahan yang berlaku di persekitaran masa kini turut membawa perbezaan jurang ketara dalam kalangan generasi masa dahulu dengan generasi masa kini. Jurang ini adakalanya membataskan komunikasi dan perhubungan. Terdapat generasi masa kini yang suka membawa haluan masing-masing tanpa mengendahkan pengalaman yang dimiliki oleh generasi masa dahulu. Begitulah sebaliknya yang berlaku terhadap generasi masa dahulu yang dalam kalangan mereka sangat berpuas hati dan rasa bangga dengan pengalaman yang ada sehingga menyebabkan mereka berasa janggal berdampingan dengan generasi masa kini.
Mengapakah situasi ini boleh berlaku? Kononnya, merekalah yang terlebih dahulu ‘makan garam.’ Generasi dahulu dikatakan lebih banyak melalui macam-macam pengalaman hidup, jadi mereka lebih berpengetahuan dalam memahami selok-belok kehidupan. Kealpaan berterusan dengan prinsip diri ini boleh menyebabkan generasi masa dahulu akan ketinggalan. Ini kerana perkembangan teknologi komunikasi dan digital masa kini yang melanda keseluruhan proses kehidupan telah meletakkan generasi masa kini terkehadapan berbanding mereka.
Niat penulis bukan untuk membanding-bandingkan generasi masa dahulu dengan sekarang, tetapi suka penulis mengajak pembaca menghayati bagaimana gabung jalin kedua-dua generasi ini membuahkan sinergi yang lebih lestari dalam mendepani cabaran serta ranjau kehidupan.
Sudah menjadi lumrah, masyarakat menganggap sesuatu yang besar sebagai hebat, gagah atau kuat manakala yang kecil dianggap lemah dan tidak penting. Hakikat menunjukkan bahawa pengetahuan dan kemampuan tidak semestinya dimiliki oleh generasi dahulu atau orang tua sahaja, bahkan boleh juga dikuasai oleh anak muda. Dalam konteks organisasi, berlaku tanggapan negatif warga yang telah lama berkhidmat terhadap pengalaman orang muda yang baru menyertai organisasi. Kebanyakan warga kerja yang telah lama bersama organisasi melihat orang muda sebagai tidak matang dan dianggap mereka belum layak diiktiraf atau dinaikkan pangkat dengan cepat.
Bagi penulis, pengiktirafan dan kenaikan pangkat tidak harus disandarkan kepada faktor usia atau tempoh perkhidmatan, sebaliknya lihatlah prestasi dan potensi yang dipamerkan. Pengiktirafan bersifat terbuka ini selari dengan tuntutan organisasi masa kini yang amat mementingkan daya saing sumber manusia. Persaingan yang sihat dalam kalangan warga kerja juga boleh membangunkan modal insan secara menyeluruh agar segera keluar dari zon selesa dan bersiap siaga melengkapkan
diri masing-masing dengan kemahiran berteraskan
Industri 4.0.
Kesemua perkembangan teknologi ini memberi isyarat kepada pekerja lama dalam kalangan generasi X (lahir 1961 – 1980) dan Y (lahir 1981 – 1994) supaya bersedia mendepani perubahan yang berlaku di persekitaran. Persediaan ini termasuklah berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran agar mereka terus malar segar walaupun zaman telah berubah. Jika mereka tidak bersedia untuk berubah dan terus berada dalam zon selesa, tidak mustahil tempat dan kedudukan mereka akan beransur-ansur diambil alih oleh generasi Z (lahir 1995 – 2010) dan Alpha (lahir 2011 – kini).
Generasi Z dan Alpha yang turut digelar generasi milenial menjadikan teknologi, gajet dan media sosial sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka. Mereka memperuntukkan secara puratanya enam ke tujuh jam seminggu daripada masa mereka di media sosial. Generasi Alpha yang lahir dalam era kepesatan dan kemajuan teknologi pula bagaikan si kembar siam kepada suatu gajet canggih, sehinggakan mereka seolah-olah tidak boleh meneruskan kehidupan tanpa gajet. Hakikatnya, proses pembelajaran mereka yang pendek dalam mempelajari teknologi baharu menyebabkan generasi X dan Y yang enggan berubah beransur-ansur menjadi tidak signifikan kepada organisasi. Keberadaan generasi X dan Y dalam organisasi masih ditagih terutamanya mereka yang berpengalaman luas, berprestasi tinggi dan bersikap terbuka kepada pelbagai pembaharuan.
Pengalaman luas dan kematangan emosi ditambah keupayaan menguasai kemahiran Industri 4.0 melayakkan generasi X dan
Y menjadi malim dan pembimbing orang muda. Pada masa sama, orang muda harus diberi peluang menunjukkan bakat serta keupayaan mereka, lantaran mereka adalah pewaris organisasi masa hadapan. Inilah gabung jalin yang diharapkan akan berlaku. Perasaan rendah diri generasi dahulu untuk mempelajari pengalaman daripada generasi lama adalah tidak merugikan, malah menguatkan iltizam generasi baharu untuk terus berjaya meredah ranjau kehidupan. Berilah ruang dan peluang kepada generasi masa kini atau anak muda meneroka dunia serta meluaskan pandangan mereka agar mampu menjadi sehebat generasi dahulu.
Penulis Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
© New Straits Times Press (M) Bhd