norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, pada mulanya tidak percaya dan menyangka ia mungkin berita palsu apabila lagu Anta Permana nyanyiannya menjadi antara lagu pilihan Raja Charles III.
Siti berkata, dia kemudian bersyukur berita itu sahih dan bukan ‘scam’ apabila pihak pengurusan Apple Music dan Universal Music Malaysia memaklumkan kepadanya kelmarin.
“Saya gembira dan bersyukur apabila diberitahu lagu Anta Permana berkenaan menjadi antara lagu pilihan Raja Charles III. Alhamdulillah, ada juga satu lagu dari Malaysia.
“Tapi, ketika berita itu dimaklumkan kepada saya Selasa lalu, mulanya bimbang juga nak percaya sebab terfiikir kena ‘scam’ ke ni?
Namun, bila pihak dari Apple Music dan Universal Music mengesahkan, Alhamdulillah syukur.
“Ini bukti karya muzik tempatan kita mempunyai keunikan tersendiri. Selain, ia juga adalah satu penghormatan buat saya sepanjang pembabitan dalam kerjaya muzik,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, Siti turut memuji komposer dan penulis lirik tempatan yang baginya ada kehebatan tersendiri dan mampu setanding dengan nama-nama besar pencipta lagu di luar negara.
“Komposer kita di Malaysia ini juga sebenarnya hebat. Kita pun boleh menembusi pasaran antarabangsa. Cuma, mungkin mereka (komposer dan penulis lirik) tidak terlalu didedahkan.
“Disebabkan itu, apabila lagu kita bertanding di luar negara, boleh dilihat kita selalu dapat perhatian dan akan pulang membawa kejayaan. Sebab, lenggok Melayu (lagu) ini sebenarnya sedap didengar,” katanya.
Terdahulu, Siti ditemui selepas majlis pelancaran lagu raya terbaharunya, Raya Nak Ke Mana? ciptaan Aisha Retno, RADi dan Amylea Azizan di Pavilion Kuala Lumpur, di sini.
Menurut Siti lagi, beliau amat berterima kasih di atas penghargaan diraih itu kerana menyifatkan ia antara pencapaian terbaik dan bermakna dalam kerjaya seninya.
Sebelum itu, Siti memuatnaik hantaran di akaun Instagram berhubung penghargaan ke atas pemilihan lagu Anta Permana dalam senarai lagu pilihan Raja Charles III.
Menerusi pemilihan itu juga antara artis antarabangsa lain yang tersenarai ialah Diana Ross, Bob Marley, Reye, Grace Jones dan beberapa lagi.
Lagu Anta Permana menjadi salah satu daripada muzik pilihan Raja Charles III sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel yang dikumpulkan oleh platform Apple Music sebagai ‘His Majesty King Charles III’s Playlist’.
© New Straits Times Press (M) Bhd