Saya buka pintu sebagai tanda adab – Najib

Saya buka pintu sebagai tanda adab – Najib

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan menunjukkan Pengerusi The Edge, Tan Sri Tong Kooi Ong pintu keluar dari kediamannya.

Sebaliknya Najib membukakan pintu kepada pemilik akhbar perniagaan tersebut di kediamannya di Langgak Duta, Kuala Lumpur, pada Mac 2015 sebagai tanda beradab.

Bagaimanapun Najib mengakui kunjungan Kooi Ong adalah untuk menyuarakan kebimbangan mengenai 1MDB.

“Saya ingin menjelaskan bahawa ini adalah tingkah laku, atau dalam bahasa Melayu, adab atau budi pekerti seseorang. Ia berakar pada cara budaya kita melakukan sesuatu,” katanya.

Najib berkata demikian ketika memberikan keterangan membela diri peringkat pemeriksaan utama oleh peguam belanya, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Sebelum ini, Kooi Ong memberi keterangan bahawa Najib tidak berkata sepatah pun ketika membuka pintu untuk dia meninggalkan kediaman tersebut pada 2015.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kini sedang memberi keterangan bela diri atas 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1MDB yang memasuki hari ketujuh di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan).-UTUSAN

Scroll to Top