MUNGKIN ada segelintir anak seni memilih berkongsi tentang perhijrahan. Terutama apabila perubahan yang dilakukan mendapat perhatian dan pujian umum. Benar, itu adalah pilihan masing-masing.
Sama ada mahu berkongsi atau tidak, terpulang kepada diri sendiri. Mungkin itu juga yang menjadi prinsip pelakon cantik, Fasha Sandha. Dia lebih senang untuk tidak memberi komen tentang perkongsiannya.
Kerap memuat naik gambar dengan imej berhijab membuatkan ramai yang tertanya-tanya, adakah pelakon Khilaf Asmara itu sudah nekad untuk berhijrah ke arah lebih baik? Sudahkah dia bertudung?
Enggan memberi jawapan pasti, Fasha menghadiahkan senyuman manis terlebih dahulu. Dia tidak mahu disalah anggap. Bukan terasa dengan soalan itu, cuma dia tidak mahu ditanya lebih.
“Saya kalau boleh memang tidak mahu memberi sebarang jawapan, komen atau apa-apa kenyataan berkaitan itu (bertudung). Kepada yang mendoakan, terima kasih. Saya bersyukur sangat.
“Tetapi untuk saya terus bercakap, tidak sama sekali. Mungkin jika saya sudah (buat gaya berniqab) juga saya akan terus mendiamkan diri. Jawapan saya mudah. Biarlah itu antara saya dan Tuhan,” katanya.
Lantas apakah yang membuatkan dia tegar untuk tidak memberi sebarang kata? Apakah dia tidak mahu terlihat riak? Adakah dia takut jika satu hari ini, hatinya berbolak balik lantas menerima kecaman bertubi-tubi?
“Saya ini manusia yang tidak pernah sempurna. Saya terlalu banyak kelemahan diri. Saya tahu kekurangan diri dan biarlah itu menjadi rahsia antara saya bersama Pencipta. Bukan takut orang cakap atau apa.
“Cuma saya tidak mahu setiap kata-kata itu akan menimbulkan persepsi atau mungkin boleh ‘berpatah balik’ kepada saya. Jadi bukankah lebih baik jika saya tidak memberi sebarang kenyataan?
“Mungkin ada yang cakap satu penghijrahan terutama kita mahu melangkah ke bulan Ramadan, tetapi saya tidak bersedia dan mungkin selamanya tidak bersedia. Kita borak pasal lain lah ya?” pintanya.
Ketika ditanya soal pujian yang diterima terutama peminat yang menzahirkan doa dan memuji raut wajahnya apabila bertudung, isteri kepada aktor, Aidil Aziz itu menjawab;
“Bila orang puji, saya cakap Alhamdulillah. Ini semua pinjaman. Saya selalu beterima kasih kepada ibu saya, sebab saya muka dia lah kot ya. Unik sikit,” katanya.
TIGA TAHUN ALFARO
Fasha ketika ditemui di majlis pelancaran koleksi raya 2025, Alfaro baru-baru turut meluahkan rasa syukur apabila masih dipilih sebagai duta kepada jenama fesyen terkemuka itu untuk tiga tahun berturut-turut.
Mengakui banyak tawaran yang datang, namun ibu kepada tiga orang anak itu tetap setia bersama Alfaro apatah lagi, jalur visi dan misi jenama itu selari dengan prinsipnya dalam bekerjasama.
“Kualiti, rekaan dan harga yang ditawarkan Alfaro sangat berpatutan, Saya sebagai duta, bukan hanya pinjamkan wajah dan tugas tetapi saya sendirti suka memakai baju-baju ALfaro. Begitulah saya.
“Malah, saya turut terlibat dalam pelbagai aktiviti kebajikan yang dianjurkan Alfaro. Itu antara sebab utama saya terus setia bersama jenama itu. Lagipun jenama ini juga dekat dengan peminat,” ujarnya.-UTUSAN