'Saya akan cari rumah sewa sekitar Kampung Kuala Sungai Baru'

'Saya akan cari rumah sewa sekitar Kampung Kuala Sungai Baru'

mhafis@mediaprima.com.my

Subang Jaya: “Kalau pindah ke tempat lain susah nak hantar anak ke sekolah, jadi saya akan mencari rumah sewa di sekitar Kampung Kuala Sungai Baru juga,” kata Harib Abu Bakar, 54, selepas kediaman disewanya sejak 12 tahun lalu musnah keseluruhan dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, di sini.

Menurutnya, tiga anaknya berusia lapan hingga 14 tahun termasuk seorang perempuan setakat ini masih belum bersekolah atas beberapa kekangan.

“Kami sekeluarga kini masih di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Camelia).

“Keadaan rumah dikategorikan sebagai total lost dan zon merah malah tidak dibenarkan masuk,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Camelia di sini, hari ini.

Harib berkata, dia bercadang mencari rumah sewa lain.

“Kalau boleh kawasan kampung bersebelahan sahaja, sebab mudah hendak uruskan anak ke sekolah. Lebih mudah dan tak perlu tukar sekolah,” katanya.

Kakitangan sebuah syarikat automotif itu juga memaklumkan dia diberi cuti bencana selama 14 hari oleh majikan.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi memaklumkan, dua PPS di Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia menempatkan 101 keluarga membabitkan 393 mangsa.

“Daripada jumlah itu, 14 keluarga terdiri daripada 60 mangsa di PPS Dewan Camelia, manakala PPS Dewan Masjid Putra Heights menempatkan 87 keluarga daripada 333 mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights di hari kesembilan selepas insiden letupan terbabit mendapati beberapa kenderaan yang terjejas di kediaman penduduk sudah mula dibawa keluar menaiki trak penunda.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming turut dilihat hadir meninjau lokasi bencana.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top