Rotterdam: Bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, mengaku “bertanggungjawab’ ketika ditahan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan.
Terdahulu, ICC yang berpangkalan di The Hague itu percaya terdapat asas munasabah untuk mendakwa Duterte atas pembunuhan dalam kempen antidadah yang didakwa meragut puluhan ribu nyawa.
“Saya adalah orang yang mengetuai penguatkuasaan undang-undang dan tentera kita.
“Saya sudah memberitahu akan melindungi anda dan saya akan bertanggungjawab atas semua ini,” katanya kepada rakyat Filipina dalam satu video yang dikongsikan di laman Facebooknya.
Duterte, 79, adalah bekas ketua negara Asia pertama yang berdepan pertuduhan di ICC.
Seorang jurucakap mengesahkan bahawa Duterte kini dalam tahanan mahkamah selepas tiba dengan jet di Rotterdam, Belanda.
Sebuah kenderaan yang dipercayai membawa Duterte dilihat memasuki pusat tahanan ICC di The Hague, melepasi kumpulan penyokong yang bersorak “Bawa dia pulang” sambil mengibarkan bendera kebangsaan.
Pusat tahanan ICC, yang terletak berhampiran pantai Laut Utara, menyediakan sel individu yang lengkap dengan komputer, di samping kawasan riadah di luar.
Duterte akan ditahan di situ sehingga dihadapkan ke mahkamah.
Sebelum keberangkatan bapanya, Naib Presiden Filipina, Sara Duterte memberitahu bahawa Duterte dibawa secara paksa ke The Hague.
Pada 2019, Filipina menarik diri daripada ICC atas arahan Duterte.
Bagaimanapun, tribunal itu tetap mengekalkan bidang kuasanya ke atas pembunuhan yang berlaku sebelum itu, termasuk kes di bandar selatan Davao ketika Duterte menjadi Datuk Bandar.
Dalam waran tangkapnya, ICC menyatakan terdapat asas munasabah untuk mempercayai sekurang-kurangnya 19 individu dibunuh di Davao oleh anggota “Skuad Kematian Davao” yang diketuai Duterte.
Selain itu, sekurang-kurangnya 24 individu lagi dipercayai dibunuh oleh polis Filipina di beberapa lokasi lain.
Duterte masih mendapat sokongan kuat daripada ramai rakyat Filipina.
© New Straits Times Press (M) Bhd