'Saya ajar arwah isteri mengucap kalimah syahadah' – Suami

'Saya ajar arwah isteri mengucap kalimah syahadah' – Suami

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: “Sayalah individu yang mengajar arwah mengucap kalimah syahadah,” kata Tajudin Supaat, 56, suami kepada Allahyarham Fauziah Selamat, 46, yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 80, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, dekat Renggam, semalam.

Kemalangan berlaku ketika arwah dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Melewar, Parit Raja, di sini, ke sekolah tempatnya mengajar di Sekolah Agama Bandar Renggam.

Tajudin berkata, kira-kira 30 minit sebelum mendapat berita dukacita itu, arwah isterinya sempat menghubungi memaklumkan dia mahu bergerak ke sekolahnya kira-kira 12.15 tengah hari.

Ketika itu, Tajudin yang dalam perjalanan ke Machap dengan harapan mahu berjumpa isterinya seketika sebelum arwah menyambung tugas sebagai Guru Penolong Kanan 1 di sekolah terbabit.

“Sewaktu dalam perjalanan ke sana (Machap), hati saya sudah tidak sedap seolah-olah ada sesuatu tidak kena berlaku. Kemudian saya ternampak satu kemalangan dan dalam hati saya mengatakan seperti mengenali kenderaan itu.

“Bila saya lihat nombor pendaftaran, barulah saya tahu isteri terbabit dalam kemalangan. Tanpa melengahkan masa, saya terus menerpa ke arahnya yang ketika itu sedang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Saya ajarnya mengucap walaupun ketika itu keadaannya sudah 50-50. Akhirnya, saya terdengar ‘Allah, Allah’, sebelum disahkan meninggal atas pangkuan saya. Hati saya berkata ikhlas, reda dan ‘melepaskan’ dia untuk selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Manis, Parit Raja, di sini, hari ini.

Tajudin dalam nada suara tersekat-sekat memberitahu, dia beberapa kali mencuba untuk mengeluarkan isterinya, namun gagal kerana arwah tersepit di tempat duduk pemandu.

“Saya ingatkan dapat jumpa dia sekejap di Machap, tapi sayangnya saya hanya jumpa dalam keadaan begitu. Paling menyedihkan pemergiannya ketika hanya tinggal tiga hari kami akan menyambut ulang tahun perkahwinan kelima.

“Saya menikahinya pada 29 Ogos 2019, dia meninggal (dunia pada) 26 Ogos (semalam). Saya tidak dapat bayangkan perasaan ketika ini apabila insan tersayang pergi dalam sekelip mata.

“Apa yang membanggakan ialah arwah tidak pernah meninggalkan wuduk setiap kali mahu ke sekolah. Kalau dia salam dengan saya, dia akan ambil wuduk dan terus ke sekolah, itulah rutin dilakukan setiap hari,” katanya.

Dalam pada itu, Tajudin berkata, arwah memohon untuk berpindah sekolah berdekatan rumah di Parit Raja beberapa kali, namun ditolak.

Katanya, setiap hari, isterinya akan menempuh perjalanan pergi balik hampir 100 kilometer sejak lima tahun mengajar di sekolah terbabit.

“Dia nak sangat pindah tapi belum ada rezeki, hari ini dia memang pindah ke sini untuk selama-lamanya,” katanya sambil memberitahu jenazah isterinya disemadikan Tanah Perkuburan Islam Parit Raja pada 10 malam tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd