georgie@hmetro.com.my
PENCAPAIAN penyanyi remaja Indonesia, Bernadya dalam industri muzik sememangnya cukup mengagumkan.
Pada usia 20 tahun, legasi diciptanya sudah kukuh dan meraih jutaan pengikut. Paling tular dengan lagu Untungnya, Hidup Harus Tetap Berjalan, tidak sukar buatnya mencetus fenomena. Karyanya menjadi tunggak terpenting dalam memperkenal lagi namanya. Satu hal yang melekat pasal dirinya, dia ada magis membuai pendengar dengan lagu-lagu galau. Curahan emosi dalam setiap lagu mampu dirasai sehingga ke sanubari. Pemilik nama sebenar Bernadya Ribka Jayakusuma ini mengakui ada terbeban juga apabila dengan gelaran penyanyi galau.
Menurutnya, dia ragu-ragu kalau perlu teruskan pendekatan karya sebegitu.”Berat untuk saya kalau sering dikaitkan dengan lagu galau. Buat saya jadi sedikit terbeban. Kadang-kadang jadi tekanan adakah saya selalu harus menulis lagu sebegitu,” katanya. Mendalami corak berkaryanya, Bernadya memang memanfaatkan kisah peribadi untuk dilagukan dalam liriknya. Unsur dramatik dijadikan sebagai perencah yang sangat berkesan. Baginya, luahan peribadi akan menjadikan curahan hatinya lebih dekat dengan kisah-kisah sebenar. Namun, pada masa sama mengakui ada menokok tambah juga penceritaannya.
“Saya ‘over dramatic’. Lagipun menurut saya orang lain kalau nak tulis apa-apa karya mahu tak mahu kena berlebihan. ,” katanya.
Antara lagu yang benar-benar membawa memberi kesan padanya adalah Satu Bulan. Dia tidak berselindung bahawa lagu berkenaan terhasil dari kisah percintaan sendiri. Hakikatnya, lagu itu karya paling sedih pernah dihasilkan. Lagu berkenaan digarap sewaktu dia berada dalam fasa sedih selepas dikecewakan bekas teman lelakinya.”Lagu paling sedih pernah saya cipta berjudul Satu Bulan. Yang lain pun peribadi tetapi karya tersebut sangat dekat dengan saya. Mungkin lagu lain saya cipta dalam keadaan sudah baik tetapi Satu Bulan diilhamkan ketika saya berada di titik terendah.”Ketika itu, saya baru saja putus cinta dan tulis apa yang saya rasakan,” katanya yang bakal mengadakan konsert jelajah Untungnya, Untungnya di Zepp KL pada 13 Julai depan. Bukan hanya satu lokasi, sebaliknya Bernadya juga bakal menghiburkan peminatnya di KDCA Hall, Kota Kinabalu pada 19 Julai.
Selain identiti lagu galau, Bernadya membawa pesona gelap apabila sering tampil dengan pakaian hitam. Hampir setiap persembahannya, dia terlihat cukup sukakan penampilan ringkas begitu.
Tapi sebenarnya itulah konsep yang ditetapkan untuk identitinya baik sebagai penyanyi mahupun karyanya. Dia berhasrat mahu teruskan konsep begitu agar lebih sinonim dengan dirinya.”Ya, memang harus pakai pakaian hitam sebab ini penutupan konsert album Sialnya Hidup Harus Diteruskan. Konsep itu juga sudah dilakukan sepanjang jelajah Tur Berjalan. Sebab saya dah mulakan hitam jadi teruskan saja kali ini,” katanya.
Bagaimanapun, dia mendedahkan titik mula dia cukup melekat dengan rona gelap disebabkan bekas kekasihnya tidak menyukai warna begitu. Dia mahu wujudkan kontradiksi terhadapnya. Lagipun katanya, warna hitam membawa makna besar dalam dirinya. Dia percaya warna hitam perlambangkan keyakinan terutama untuk dirinya sendiri juga.
“Lagi satu sebab sesuai dengan lirik lagu Kata Ini Berlebihan iaitu ‘Baju hitamku tak pernah kusentuh lagi sejak hari itu kau bilang warna gelap membosankan. Saya melakukan hal yang kontradiksi dengan apa yang bekas kekasih saya cakap. Saya pun suka hitam.
“Menurut saya, hitam itu kuat, tetapi tidak terlalu tegas. Sesuai dengan semua dan boleh melambangkan apa-apa sahaja,” katanya.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd