Satu bentuk kezaliman merosakkan masyarakat

Satu bentuk kezaliman merosakkan masyarakat

Tohmah bukan sekadar isu individu, tetapi wabak sosial yang meracuni keamanan, ekonomi dan nilai kemanusiaan. Masyarakat Islam di Malaysia perlu kembali kepada prinsip Islam iaitu ‘tabayyun’ (penyiasatan) dan ‘husn al-zann’ (berprasangka baik).

‘Tohmah’ perkataan bahasa Arab yang bermaksud ‘prasangka’, ‘dugaan’ atau ‘anggapan tanpa bukti’. Tohmah juga dikenali sebagai ‘al-buhtan’ atau ‘al-ifk’ dalam konteks fitnah yang berat.

Menurut istilah pula ialah tuduhan atau dakwaan palsu yang dilemparkan tanpa bukti atau merujuk kepada perbuatan menuduh seseorang dengan sesuatu kesalahan yang tidak dilakukan sama ada berkaitan akhlak, kepercayaan atau tindakan.

Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulum al-Din menjelaskan berkaitan ‘bahaya lisan’ dengan menyenaraikan tohmah sebagai antara penyakit hati yang berasal daripada sifat hasad, sombong atau buruk sangka (su’ al-zan) yang boleh merosakkan hubungan sosial dan menjauhkan seseorang daripada rahmat Allah SWT.

Sementara Ibnu Taymiyyah pula dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa menegaskan bahawa tohmah adalah bentuk kezaliman yang dilarang oleh Allah SWT. Menjaga kehormatan saudara seakidah adalah kewajipan yang sama pentingnya dengan menjaga nyawa dan harta.

Allah SWT berfirman dengan menyatakan larangan dan hukum haram menyebar tohmah iaitu: “Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah segolongan daripada kalangan kamu. Janganlah kamu kira bahawa berita itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu…” (Surah an-Nur: 11)

Ayat berkenaan menjelaskan peristiwa ‘al-ifk’ iaitu kisah tuduhan zina palsu terhadap Ummul Mukminin Aisyah RA dengan mengecam keras dan mengingatkan penyebar tohmah.

Selain itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Jauhilah banyak daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa.” (Surah al-Hujurat: 12)

Seterusnya Nabi SAW memerintahkan menjaga kehormatan Muslim melalui sabda yang bermaksud: “Setiap Muslim ke atas Muslim yang lain haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (Riwayat Muslim)

Hadis itu menjelaskan bahawa tohmah melanggar prinsip dengan merosakkan kehormatan seseorang.

Terdapat pelbagai kesan tohmah terhadap masyarakat yang boleh dilihat dan diperhatikan berlaku dalam kehidupan seharian.

Pertama, keruntuhan kepercayaan sosial. Tohmah mencipta budaya prasangka, persepsi negatif dan curiga sehingga menyebabkan berlaku naratif negatif terhadap individu yang tidak bersalah dan keruntuhan ikatan persaudaraan dalam masyarakat.

Tohmah dalam isu politik akan menyebabkan rakyat terbahagi kepada kumpulan ‘pro’ dan ‘anti’ atau polarisasi masyarakat yang akan merosakkan kredibiliti sistem politik serta melemahkan perpaduan nasional. Sementara tohmah terhadap pihak berkuasa pula akan mengurangkan keyakinan awam terhadap sistem pentadbiran.

Kedua, berlaku kezaliman. Tohmah melibatkan dua kezaliman iaitu zalim kepada manusia yang merosakkan maruah dan hak mangsa. Zalim kepada Allah iaitu melanggar perintah-Nya untuk menjaga kehormatan sesama manusia.

Allah SWT menegaskan perbuatan menuduh tanpa bukti termasuk dalam kezaliman yang mengundang kemurkaan-Nya dalam ayat yang bermaksud: “Dan sesiapa yang melakukan kezaliman, nescaya Kami akan azabnya pada hari kiamat” (Surah al-Qasas: 62)

Mangsa tohmah boleh mengalami tekanan psikologi seperti kemurungan, gangguan keresahan dan Post-traumatic stress disorder (PTSD). Selain itu, mangsa tohmah akan menghadapi kehilangan reputasi dan kesukaran dalam kehidupan sosial atau pekerjaan. Tohmah juga boleh menyebabkan konflik rumah tangga seperti isteri atau anak mangsa turut dibuli dan dikecam masyarakat.

Ketiga, perubahan norma sosial sehingga wujud kekacauan dan kekalutan kerana menghukum seseorang hanya berdasarkan khabar angin. Tohmah menjadi punca perpecahan, permusuhan dan keganasan sosial.

Masyarakat menjadi terlalu mudah menghukum tanpa bukti yang akan mencerminkan krisis nilai kemanusiaan terhadap penabur serta penerima tohmah kerana sikap hasad, dengki, dendam dan sebagainya.

Keempat, menerima hukuman di akhirat. Pelaku tohmah berdepan ancaman azab neraka jika tidak bertaubat kepada Allah SWT. Tohmah adalah dosa berantai yang sering diikuti dengan ‘ghibah’ (mengumpat), ‘namimah’ (mengadu domba) dan dosa lain yang merosakkan masyarakat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat dan pencela yang mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya. Dia menyangka hartanya itu dapat mengekalkannya. Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam Hutamah (neraka yang menghancurkan)” (Surah al-Humazah: 1-4)

Ibnu Abbas menjelaskan bahawa ‘pengumpat’ (humazah) dalam ayat di atas merujuk kepada orang yang suka memfitnah dan menuduh palsu.

Demikianlah, tohmah adalah kejahatan sosial dilarang tegas dalam Islam yang menekankan kepentingan menjaga kehormatan manusia serta mengancam pelakunya dengan balasan dunia dan akhirat. Masyarakat yang bebas daripada tohmah akan lebih aman, harmoni dan mendapat keberkatan Allah SWT.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor

© New Straits Times Press (M) Bhd

Recent Posts

Scroll to Top