PETALING JAYA: Matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk membasmi kemiskinan terutama dalam kalangan bumiputera boleh dicapai sekiranya kerajaan kembali melaksana program perancangan keluarga bagi negeri-negeri yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi.
Di bahas RMK-12, Chan Ming Kai (PH-Alor Setar) mencadangkan perkara itu selepas meniliti kadar pengambilan pil perancang dalam kalangan rakyat di beberapa negeri yang kadar kemiskinannya tinggi termasuk Kelantan, Kedah, Terengganu dan Labuan.
“Saya cadangkan supaya pihak kerajaan bahawa dalam teori ekonomi populasi merupakan salah satu faktor yang memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi termasuk juga kadar kemiskinan. Saya minta dilaporkan juga Angka Kelahiran Total (TFR) bagi setiap negeri ikut masa ke semasa yang pernah dulu kita pernah laporkan dalam RMK sebelum ini.
“Walaupun pada tahun 2015, kita sudah mencapai Replacement Level Fertility tetapi ada banyak negeri yang dikatakan miskin seperti Kedah, kadar kemiskinan 8.8 peratus); Kelantan, kadar kemiskinan 12 peratus; Sabah, sembilan peratus; Sarawak juga sembilan peratus; Terenganu, enam peratus; Perlis 3.9 peratus dan Labuan 3.1 peratus.
“Masalahnya negeri-negeri ini TFR tinggi, saya cadangkan kepada kerajaan untuk beberapa negeri ini, kembalikan strategi zaman 70-an iaitu program rancang keluarga di beberapa negeri ini.
Katanya, dalam negeri-negeri itu, kadar pengambilan pil perancang yang tinggi bermakna penduduk ada berhasrat untuk rancang kelahiran tetapi gagal dari segi maklumat dan pengetahuan.
“Ini maksudnya sekiranya kita boleh usahakan program rancang keluarga, ia akan turut bantu kadar kemiskinan dan saya rasa akan bantu kita capai matlamat RMK12 dengan lebih tepat,” katanya. – UTUSAN