Sarah, Aswad kini suami isteri

Sarah, Aswad kini suami isteri

najiy.jefri@hmetro.com.my

 

Hulu Langat: Penyanyi Sarah Suhairi selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu Aswad Anuar pada jam 8.30 pagi tadi di sebuah lokasi di sini.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Sarah, Suhairi Hamdan di hadapan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Ahmad Khaliq Md Rasid. 

Pada majlis bertemakan putih itu, Sarah menerima mas kahwin berupa seutas gelang emas bernilai RM2,486, sementara jumlah hantaran tidak dikongsikan.

Bagaimanapun pengantin lelaki memberi lima dulang hantaran manakala pengantin perempuan menyerahkan tujuh dulang hantaran.

Kira-kira 200 tetamu menjadi saksi ikatan pernikahan pasangan itu yang dihadiri oleh ahli keluarga, saudara-mara, rakan selebriti dan media.

Antara rakan artis yang hadir meraikan pasangan mempelai termasuk Naim Daniel, Afieq Shazwan, Wani Kayrie, Sissy Iman dan Shaffiq Erwin.

Sebelum ini, Sarah tidak pernah mendedahkan mengenai hubungan istimewa mereka kepada umum.

Bagaimanapun pasangan itu sudah melangsungkan majlis pertunangan pada 27 Januari lalu.

Kedua-dua mereka dikhabarkan mula berkenalan pada 2020 dan mempunyai minat yang sama iaitu sukan berkuda.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top