SAR lelaki Orang Asli jatuh sungai diteruskan

SAR lelaki Orang Asli jatuh sungai diteruskan

Ipoh: Radius operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki Orang Asli yang dikhuatiri lemas di Sungai Perlus, Kampung Kuala Chenein, Sungai Siput diperluaskan sehingga lima kilometer (km) dari tempat kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, SAR yang memasuki hari ketiga itu membabitkan 30 anggota terdiri daripada JBPM, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Operasi bermula sekitar 8 pagi dan semua anggota penyelamat dibahagikan kepada tiga kumpulan, dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air di beberapa kawasan yang ditentukan.

“Pasukan pertama akan melakukan carian di kawasan terakhir mangsa dilihat, manakala pasukan kedua di kawasan hilir sungai (dua kilometer dari kawasan lemas). Pasukan ketiga pula membuat pencarian tiga kilometer dari lokasi kumpulan kedua beroperasi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada 18 Mac lalu, mangsa Amran Ahin, 43, bersama anak lelakinya berusia lapan tahun turun ke sungai berkenaan sekitar 9 malam untuk memasang pukat sebelum kedua-duanya terjatuh.

Kanak-kanak itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang berada di lokasi kejadian, manakala mangsa dikatakan terus dihanyutkan arus deras.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top