Sanjna Suri serasi dengan Bram

Sanjna Suri serasi dengan Bram

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Sanjna Suri yang bakal menamatkan zaman bujang dengan jejaka pilihannya dari Belgium iaitu Bram Demeulenaere pada 17 Januari tahun depan mengaku tidak sabar untuk memulakan kehidupan sebagai suami dan isteri.

Sanjna berkata, selepas enam tahun menjalin hubungan cinta dengan jejaka berusia 36 tahun itu, mereka akhirnya bersepakat untuk melangkah ke fasa seterusnya.

“Sebelum ini Bram pernah bekerja di Malaysia, tapi sekarang kami terpaksa menjalani hubungan jarak jauh kerana dia bekerja di Dubai dan Arab Saudi.

“Sepanjang enam tahun perkenalan saya tidak berdepan sebarang kesukaran memandangkan dia memahami budaya Malaysia. Malah kami berdua bahagia melayari kehidupan sebagai pasangan kekasih.

“Dia juga mudah serasi dengan keluarga dan teman saya. Ketika saya masak sambal petai untuknya dia terus jatuh cinta.

“Namun apa yang membuatkan saya terpikat dengan dia kerana saya suka cara dia berfikir, bekerja keras, tidak berminat untuk masuk dalam dunia glamour sebaliknya lebih fokus kepada masa depannya,” katanya.

Menurut Sanjna, Bram juga tidak pernah menyekat kerjaya seninya walaupun mereka bakal mendirikan rumah tangga.

“Saya percaya pada hak sama rata, peluang yang sama, dan bekerja selepas berkahwin. Saya tidak boleh menerima sesiapa dalam hidup yang mengawal saya.

“Dia begitu menghormati perkara itu. Dia suka apabila saya mempunyai kehidupan sendiri. Mudah-mudahan selepas berkahwin nanti, dia boleh datang ke sini kerana saya belum bersedia untuk meninggalkan Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top