Sanggup beratur panjang

Sanggup beratur panjang

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Mahu mencuba selepas melihat orang beratur panjang selain keunikan rasa makanan yang dijual menjadi antara penyebab peminat makanan sanggup beratur awal di bazar Ramadan demi mendapatkan juadah kegemaran.

Ada dalam kalangan mereka sanggup beratur seawal jam 3 petang bagi memastikan dapat membeli juadah berbuka yang diidamkan.

Tinjauan Harian Metro di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mendapati antara gerai yang menjadi tumpuan ialah PitboyBBQ dan Pak Ya Popia Power.

Pembeli di gerai PitboyBBQ, Naqia Nazirah, 29, berkata, tertarik dengan barisan panjang yang membuatkan dia turut sama mahu mencuba makanan yang dijual.

“Saya mahu membeli Mac and Cheese Brisket sebab tertarik dengan keju Grana Padano yang tidak pernah dilihat di kedai lain dan daging brisket juga nampak menyelerakan.

“Harganya juga bagi saya berbaloi dengan jenis masakan yang dijual,” katanya.

Menurutnya, walaupun beratur panjang namun proses pembelian dilakukan cepat menyebabkan dia tidak berdepan masalah.

“Ini kali pertama saya cuba membeli selepas melihat orang beratur panjang, tak sangka hanya ambil masa sekitar 10 minit saja menunggu dalam barisan, proses memasak pun cepat, tidak perlu menunggu lama,” katanya.

Pelanggan Pak Ya Popia Power, Haliza Ahmad, 39, pula berkata, suaminya kerap membeli popia tular itu bahkan sebelum bulan puasa lagi.

“Setiap Ramadan kami akan membeli popia ini sebagai juadah berbuka puasa walaupun perlu beratur.

“Kuantiti popia yang sebegini sangat berpatutan dan rasanya memang sedap,” katanya.

Eksekutif kewangan, Farah Nur Syafiqah Aminorashid, 26, berkata, harga popia yang dijual berpatutan walaupun ini kali pertama dia membelinya.

“Harga berbaloi jika dikira keadaan sekarang barang mahal dan sangat sedap sebab rasa udang kering kuat,” katanya.

Sementara itu, pemilik PitboyBBQ, Mohamad Arizal Mohd Aziz, 40, berkata, gerai mereka mula menjadi tular sejak jualan Mac and Cheese yang menggunakan keju Grana Padano menarik perhatian ramai.

Dia berkata, makanan habis sekitar jam 6 petang kerana pembeli sudah beratur seawal jam 3 petang.

“Keju seberat empat kilogram (kg) habis digunakan dalam sehari dan sebanyak 500 hingga 800 cawan terjual setiap hari.

“Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka resepi ciptaan sendiri ini boleh tular, mungkin kerana kelainannya yang tidak pernah dilihat ramai.

“Idea menghasilkan Mac and Cheese ini saya dapat sewaktu mengendalikan keju Grana Padano di hotel tempat saya bekerja dulu malah saya hubungi pembekal dari Itali untuk mendapatkan keju ini,” katanya.

Dia berkata, selain Mac and Cheese, gerainya turut menjual daging bakar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top