Sang Kenari ucap selamat tinggal kepada 8 import

Sang Kenari ucap selamat tinggal kepada 8 import

sukan@hmetro.com.my

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mengumumkan penghargaan buat lapan pemain importnya yang tidak akan bersama pasukan bagi meneruskan cabaran pada saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

Menerusi maklumat rasmi yang dikeluarkan Sang Kenari, pemain import berkenaan terdiri daripada Ifedayo Olusegun, Bojan Ciger, Moses Atede , Manuel Hidalgo, Amirbek Juraboev, Ebenezer Assifuah, Alan Robertson dan Jonatan Balotelli.

“Terima kasih kepada lapan pemain import KDA FC musim 2023 atas sumbangan dan perjuangan hebat mereka kepada pasukan Liga Super Kedah Darul Aman FC sehingga menjadi empat pasukan terbaik liga.

“Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan KDA FC merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ifedayo Olusegun, Bojan Ciger, Moses Atede, Manuel Hidalgo, Amirbek Juraboev, Ebenezer Assifuah, Alan Robertson dan Jonatan Balotelli atas dedikasi mereka sepanjang musim.

“Prestasi cemerlang dan semangat juang yang dipamerkan dalam mengangkat mutu permainan Sang Kenari musim lepas dan memberikan impak positif kepada pasukan menjadi inspirasi kepada kita semua,” katanya.

KDA FC turut berkata pihaknya amat menghargai sumbangan penting yang telah dicurahkan oleh setiap pemain pada musim lalu dan mengucapkan selamat maju jaya bersama kelab baharu mereka.

“Sumbangan semua barisan pemain import Sang Kenari musim lalu bukan sahaja dalam padang tetapi juga dalam pembinaan semangat dalam kumpulan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd