SAMS lonjak teknologi digital dalam sukan udara – MSAF

SAMS lonjak teknologi digital dalam sukan udara – MSAF

PUTRAJAYA – Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) memperkenalkann aplikasi Sistem Pengurusan Sukan Udara (SAMS) dengan kerjasama pelabagai rakan strategik sebagai satu langkah berani dalam mendigitalkan sukan udara di Malaysia.

Presiden MSAF, Nurhaqimy Ismail berkata, kerjasama kolektif itu menekankan komitmen terhadap inovasi dan kecemerlangan sukan udara dan juga penerbangan rekreasi di mana SAMS mewakili lonjakan teknologi digital pada masa depan.

Menurutnya, aplikasi inovatif itu menyepadukan pelbagai fungsi termasuk mengurusan lesen, sijil, kedudukan individu, sistem SOS, acara yang sedang dilakukan oleh individu, penjejakan langsung, buku log dan banyak lagi modul yang akan datang.

“Semuanya bagi memudahkan individu yang terlibat dalam sukan udara mematuhi peraturan keselamatan yang ketat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Aplikasi mudah alih ini menyatukan semua keperluan komuniti sukan udara menjadi satu platform yang boleh diakses dan mesra pengguna, menjadikan penerbangan rekreasi dan sukan udara lebih mudah dan selamat untuk semua orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Memperkenalkan Aplikasi Sistem Pengurusan Sukan Udara (SAMS) di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya  semalam.

Turut hadir, Menteri Belia & Sukan, Hannah Yeoh.

SAMS lonjak teknologi digital dalam sukan udara – MSAF
Presiden Persekutuan Sukan Udara Malaysia, Nurhaqimy Ismail memperkenalkann aplikasi Sistem Pengurusan Sukan Udara (SAMS) dengan kerjasama pelabagai rakan strategik bagi mendigitalkan sukan udara di Malaysia.

Nurhaqimy menambah, pembangunan sistem SAMS itu adalah hasil kerjasama kolektif itu sepetrti Identex Digital Sdn. Bhd. yang memainkan peranan penting dalam membangunkan perisian tersebut.

Menurutnya, Universiti Kebangsaan Malaysia pula menyumbang kepakaran mereka dalam penyelidikan dan pembangunan sukan dron dan AIM Aerial Technologies ymemberikan sokongan mereka dengan melakukan penjejakan dan pemantauan secara langsung.

“Generali Insurance Malaysia Berhad pula memastikan keselamatan pemain sukan udara dan keselamatan semua aktiviti sukan udara dengan menyediakan perlindungan insurans.

“Tidak ketinggalan, Futurise Sdn. Bhd.yang bekerjasama dengan MSAF untuk membangunkan manual latihan, pemetaan perlaksanaan dan rangka kerja untuk sukan dron,” katanya.

Nurhaqimy turut memberitahu, SAMS telah menerima pelbagai pengiktirafan dan permintaan di peringkat antarabangsa terutamanya daripada Persekutuan Sukan Udara Asia yang telah menyatakan minat mereka yang mendalam untuk mengguna pakai SAMS untuk sistem sukan udara mereka.

Kata beliau, sambutan yang menggalakkan ini menyerlahkan lagi potensi SAMS untuk mengubah dan memudahkan pengurusan sukan udara bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh benua.

“Oleh itu, MSAF akan terus meningkatkan dedikasi untuk mempromosikan dan mengembangkan lagi komuniti sukan udara dan penerbangan rekreasi ini.

“Dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan dn an Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, MSAF juga akan menumpukan usaha untuk mendapatkan semua pihak bagi memastikan standard keselamatan tertinggi bagi komuniti sukan udara di samping memupuk pembangunan sektor dinamik ini,” katanya. – MalaysiaGazette