Sambut maulid di Australia

Sambut maulid di Australia

mohamadridzuan@hmetro.com.my

BUKAN hanya di Malaysia, malah nama kumpulan nasyid Inteam yang dianggotai Hazamin Harun, Syahril Khalid, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad turut dikenali di luar negara.

Justeru sesuatu yang amat bermakna apabila mereka diundang mengadakan persembahan dan menyertai acara Maulid In The Park anjuran Qaswa House dari Perth, Australia sempena sambutan Maulidurrasul.

“Acara yang diadakan secara terbuka di taman Neil McDougall, Como itu adalah acara tahunan dan turut dihadiri ratusan warga Muslim yang menetap di Perth dari berbilang kaum dan bangsa.

“Ini adalah kali kedua kami mengadakan persembahan di Perth, Australia. Sebelum ini kami pernah dijemput penganjur yang sama ke Qaswa Qarnival pada hujung tahun lepas.

“Suasana ‘Maulid In The Park’ ini sangat menarik dan unik apabila ia diadakan di tempat terbuka di sebuah taman rekreasi. Ramai juga warga tempatan di kalangan bukan Islam yang turut menyaksikan acara ini.

“Ia secara tidak langsung dapat menyebarkan syiar Islam dan membuka ruang dialog dan diskusi bersama mereka” kata Hazamin.

Inteam yang popular menerusi pelbagai lagu antaranya Kasih Kekasih, Setanggi Syurga dan Nur Kasih berangkat ke Perth, Australia pada 18 hingga 26 September lalu dan perjalanan mereka kali ini ditaja oleh sebuah aplikasi islamik bernama Khair.

“Alhamdulillah… kami bersyukur kerana perjalanan kali ini ditaja aplikasi Khair dari Ustazustazah.com dan kami turut mengadakan rakaman travelog Kembara Selawat Inteam di Perth yang akan ditayangkan di dalam aplikasi terbabit nanti.

“Dalam kembara kali ini, Inteam sudah melawat ke beberapa tempat menarik di Perth serta menemuramah beberapa rakyat Malaysia yang menetap di Perth dan bertugas di dalam pelbagai bidang antaranya pengasas pusat pendidikan, pakar bius, pemilik restoran, pengurus, agamawan dan lain-lain,” katanya.

Selain merakam Travelog Kembara Selawat, Inteam juga berkesempatan merakam muzik video bagi single baru yang sudah disiapkan mereka berkolaborasi dengan artis dari Perth yang berasal dari Malaysia iaitu Farid Sanullah.

Single terbabit dijangka akan dilancarkan pada hujung tahun ini.

Hazamin berkata, Inteam turut berkesempatan menyertai program One Hiking One Hadith dan juga berkhemah di sebuah pusat perkhemahan di Sue’s Bridge, Barat Australia.

“Bagi kami, kembara kali ini sangat bermakna dan meninggalkan banyak kenangan manis buat kami.

“Insya-Allah peminat juga boleh merasai pengalaman kembara kami ini nanti apabila Travelog Kembara Selawat Inteam x Khair di Perth ini akan ditayangkan secara eksklusif di aplikasi Khair,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top