am@hmetro.com.my
Kuala Berang: “Selama 13 tahun bekerja di sini (Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV), saat menyambut kelahiran Hujjan adalah kenangan paling indah yang tidak akan saya dapat di mana-mana,” kata Mohamad Luqman Mahussin, 35.
Mohamad Luqman adalah antara penjinak gajah atau ‘mahut’ yang teruja menyambut kelahiran anak gajah betina di perkampungan itu tiga bulan lalu.
Uniknya, anak gajah seberat 69.6 kilogram (kg) itu dinamakan Hujjan kerana dilahirkan ketika hujan sangat lebat.
Mohamad Luqman berkata, peluang menyambut kelahiran anak gajah itu sesuatu yang indah dan tidak pernah tergambar dalam fikirannya.
“Ketika proses kelahiran Hujjan, ibunya Dusun yang berusia 16 tahun ‘meraung’ kuat disusuli sahutan suara 17 ekor gajah lain di pusat konservasi berkenaan.
“Hujjan dilahirkan tepat jam 12.15 tengah malam, dan membantunya hingga boleh berdiri,” ketika ditemui di perkampungan konservasi itu, semalam.
Dia yang turut terbabit dengan kerja pembinaan perkampungan itu pada 2011 berkata, proses kelahiran turut dibantu Pengarah KECV, Ang Ching Yang dan seorang lagi pekerja.
Sementara itu, Ang berkata, dengan kelahiran Hujjan, KECV mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi anak gajah pertama dilahirkan dalam kandang di negara ini.
“Kini Hujjan yang sudah berusia tiga bulan dan berat 70 kg menjadi tarikan baharu di perkampungan ini dan kesihatannya sentiasa dipantau bagi memastikan ia berada dalam keadaan sihat,” katanya.
Mengimbau proses kelahiran anak gajah itu, katanya, proses membersihkan Hujjan sehingga ia dapat berdiri dan menyusu mengambil masa selama 2 jam 30 minit.
Menurutnya, anak gajah yang baharu lahir lazimnya tidak boleh berdiri sendiri dan ibu akan menggunakan belalai atau lain bagi membolehkannya berdiri sendiri.
“Dengan ilmu dan kepakaran yang kami miliki, kami lakukan sendiri proses berkenaan sehinggalah ibunya boleh memberi susu selepas tujuh jam dilahirkan.
“Lazimnya seekor anak gajah akan menyusu selama dua jam dan berehat selama dua jam,” katanya.
Katanya, gajah betina akan bunting selama dua tahun, menyusukan anak dua tahun dan kembali bunting selepas berehat selama lima tahun.
Bagaimanapun katanya, jika anak pertama yang dilahirkan mati akibat dimakan haiwan pemangsa terutama harimau belang, ibu gajah tidak akan bunting lagi seumur hidupnya.
“Dalam seumur hidup gajah hanya boleh bunting sebanyak empat kali sahaja,” katanya.
Mengulas mengenai sumber pemakanan gajah, katanya, dia memerlukan 130 tan makanan setiap bulan dengan kos sebanyak RM148,000.
Menurutnya, gajah berusia lima hingga 10 tahun memerlukan 100 kg makanan setiap hari, 11 hingga 20 tahun (150 kg) dan 150 hingga 200 kg bagi gajah berusia 20 tahun ke atas.
© New Straits Times Press (M) Bhd