Saman pensyarah: Hannah Yeoh kemuka bantahan awal batal keterangan 4 saksi

Saman pensyarah: Hannah Yeoh kemuka bantahan awal batal keterangan 4 saksi

Kuala Lumpur: Hannah Yeoh hari ini memfailkan bantahan awal untuk membatalkan keterangan empat saksi yang dikemukakan bagi menyokong pembelaan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff dalam kes saman fitnah Menteri Belia dan Sukan itu.

Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Hannah selaku plaintif memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aliza Sulaiman bahawa, pernyataan saksi tersebut menyentuh perkara di luar pliding saman itu.

Beliau berkata demikian semasa perbicaraan kes saman fitnah difailkan Hannah terhadap Kamarul Zaman sebagai defendan, berhubung dua catatan Facebook yang dibuat defendan pada Mei 2017.

Empat saksi itu ialah bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, Pengerusi Gabungan Nasionalis Aminudin Yahaya, bekas Eksekutif Kanan Pusat Kajian Media Institut Strategik Islam Malaysia (IKSIM) Harizal Hassan dan penulis bebas Helen Ang.

Sementara itu, peguam Khairul Azam Abdul Aziz mewakili Kamarul Zaman berkata beliau terkejut dengan bantahan yang dibangkitkan pihak plaintif hari ini.

Beliau berkata peraturan etika Majlis Peguam Malaysia menetapkan bahawa pihak lawan (defendan) perlu dimaklumkan lebih awal, jika terdapat sebarang bantahan awal yang ingin dikemukakan.

“Sehubungan itu, pihak kami mohon mahkamah memberi masa untuk kami menyediakan hujahan balas terhadap bantahan tersebut,” kata peguam itu.

Hakim Aliza kemudian memutuskan untuk mendengar hujahan lisan Sangeet hari ini, manakala Khairul Azam diberikan masa sehingga esok untuk menyediakan hujahan balas.

Dalam saman yang difailkan pada 2022, Hannah berkata Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei, 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.

Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah “Becoming Hannah: A Personal Journey” bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.

Dalam pernyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata kedua-dua hantaran Facebooknya tidak berunsur fitnah dan beliau mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai kandungan buku itu, kerana bimbang mereka mungkin terpengaruh dengan Kristian.

Perbicaraan kes ini bermula pada 25 November tahun lepas dan hari ini merupakan hari keenam perbicaraan tersebut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top