Saliran sasar raih RM21.71j daripada IPO

Saliran sasar raih RM21.71j daripada IPO

PETALING JAYA: Saliran Group Bhd. (Saliran), pembekal dan pengedar paip serta aksesori berkaitan, dijangka meraih dana RM21.71 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan terbitan 80.4 juta saham biasa pada harga 27 sen sesaham.

Menerusi prospektus IPO syarikat yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) pada 13 Mac ini, Saliran memperuntukkan sebahagian besar dana berjumlah RM1.2 juta atau 5.52 peratus untuk penubuhan pejabat jualan di Indonesia.

Sebanyak RM1.44 juta (6.63 peratus) akan digunakan untuk pembelian jentera dan trak penghantaran.

Baki RM7 juta (32.25 peratus) untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM8.37 juta (38.55 peratus) untuk modal kerja am dan RM3.7 juta (17.05 peratus) untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Urusan Saliran Group Bhd. , Dennis Liaw Choon Wei, berkata syarikat merancang untuk memperluaskan operasinya ke pasaran Indonesia dengan membuka pejabat jualan di negara itu susulan perkembangan pesat sektor minyak dan gas.

“Bagi IPO ini, rancangan kami hanya untuk memperluaskan pejabat jualan serantau di Indonesia didorong oleh pasaran minyak dan gas di Indonesia sedang berkembang pesat.

“Dengan membuka pejabat jualan di sana, kami dapat meraih lebih banyak peluang pertumbuhan dan peluang pemasaran supaya pasaran akan lebih mengenali kami,” katanya selepas majlis pelancaran propektus Saliran di sini, hari ini.

Choon Wei berkata, syarikat turut memberi tumpuan kepada pasaran Asia Tenggara disebabkan permintaan yang tinggi.

“Kami akan memberi fokus kepada pasaran Asia Tenggara kerana permintaan ada di situ dan kami juga melihat Vietnam dan Thailand antara negara yang berpotensi. Namun, sudah tentu kami perlu fokus dan lakukan satu persatu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata syarikat menegaskan bahawa keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengenakan tarif terhadap bahan terlindung tidak memberi kesan kepada perniagaannya.

“Saya boleh katakan kami tidak terjejas kerana perniagaan kami tertumpu di Asia Selatan, melainkan jika kami mengeksport ke Amerika dan negara berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Choon Wei berkata, dengan pelancaran prospektus itu, ia menandakan fasa baharu dalam perjalanan pertumbuhan syarikat untuk mengukuhkan kedudukan dalam rantaian bekalan perindustrian sambil meningkatkan kapasiti.

“Kami akan menyampaikan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan di seluruh rantau ini dan dana yang diperoleh akan membolehkan kami mencapai matlamat strategik, termasuk pengembangan inventori, penambahbaikan operasi dan penembusan pasaran serantau.

“Kami juga komited untuk mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan syarikat dan menyumbang kepada pertumbuhan sektor perindustrian dan minyak dan gas (O&G),” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top