surayaroslan@mediaprima.com.my
Petaling Jaya: Saksi pendakwaan kelima menafikan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, pegawai penyiasat kes kematian Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menerima tekanan daripada pihak atasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyelesaikan siasatan kes secepat mungkin.
Bekas pegawai penyiasat kanan jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, Asisten Superintendan (ASP) Nor Zaharuddin Sanip, 42, memaklumkan perkara itu ketika sesi pemeriksaan balas peguam Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua ibu bapa arwah Zayn Rayyan.
Nor Zaharuddin yang kini bertugas di Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara memberi keterangan pada hari ke-13 prosiding perbicaraan pertuduhan pengabaian dihadapi Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Haresh: ASP setuju pada masa jalankan siasatan bersama-sama Inspektor Nina (Nina Syamimi Syamsuddin), menghadapi banyak tekanan pihak atasan untuk menghabiskan siasatan ini secepat mungkin?
Nor Zaharuddin: Tak setuju, tugas saya cari orang hilang saja
Haresh: Tapi yang melaporkan kepada pihak atasan adalah anda dan IO (pegawai penyiasat)?
Nor Zaharuddin: Saya hanya ‘brief’ mengenai orang hilang saja
Haresh: ASP tahu tak sidang media yang dikeluarkan CPO (Ketua Polis Negeri) dan pegawai CID (Jabatan Siasatan Jenayah) Bukit Aman?
Nor Zaharuddin: Ada yang saya lihat dan tidak, sebab saya cuti sakit, positif Covid-19
Haresh: Segala maklumat dikeluarkan melalui pegawai tertinggi ini setuju saya cadangkan adalah hasil siasatan?
Nor Zaharuddin: Betul
Saksi itu juga memberitahu hanya pegawai penyiasat kanan ASP Mohd Hafizee Ismail mengetahui keberadaan ibu bapa kanak-kanak autistik itu di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai pada 5 dan 6 Disember 2023.
Haresh: Berbalik kepada soalan awal saya tadi, ASP setuju tertuduh-tertuduh bukan berada di kawasan itu sepanjang masa dan ASP sendiri tidak tahu masa-masa yang mana tertuduh berada di situ, betul?
Nor Zaharuddin: Betul
Haresh: Boleh bantu beritahu mahkamah daripada PDRM, siapa yang tahu masa itu?
Nor Zaharuddin: ASP Hafizee (Mohd Hafizee Ismail), pegawai penyiasat kanan
Haresh: Adakah ASP tahu mengikut kertas siasatan dan keterangan bersumpah Inspektor Nina semalam, adakah ASP bersetuju dengan saya, kedua-dua tertuduh bukan berada sepanjang masa di kawasan Blok R, Apartment Idaman atau kawasan sungai seperti mana dinyatakan dalam pertuduhan pindaan dari 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Nor Zaharuddin: Setuju
Haresh: Sebagai ketua kepada pegawai penyiasat Inspektor Nina, boleh ASP maklumkan kepada mahkamah tempoh masa kedua-dua tertuduh tiada di Blok R, Apartment Idaman sehingga ke kawasan sungai pada tarikh dan waktu sama?
Nor Zaharuddin: Saya tidak pasti, ibu dia ada mencari daripada jam berapa, baru buat laporan di balai polis dalam jam 5 petang.
Haresh: Ada keterangan Inspektor Nina, tertuduh-tertuduh pergi ke pelbagai tempat luar kawasan Blok R daripada 5 dan 6 Disember 2023 termasuk kawasan McD (McDonald), Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2, Blok R dan Blok E?
Nor Zaharuddin: Setuju
Haresh: Jadi soalan saya mudah ada atau tidak ASP tahu waktu-waktu yang tertuduh tiada di Blok R dan kawasan sungai berdekatan untuk dua hari itu?
Nor Zaharuddin: Saya tidak tahu
Haresh: Jadi mengikut kertas pertuduhan, yang menempatkan kedua-dua tertuduh untuk lebih kurang 48 jam di Blok R dan kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman tidak tepat, kerana mereka tiada di situ sepanjang masa, betul atau tidak?
Nor Zaharuddin: Betul
Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas daripada Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz mengenai soalan peguam mengenai keberadaan tertuduh pertama dan kedua di Blok R dan kawasan sungai, saksi itu berkata, dia bersetuju dengan perkataan ‘sepanjang masa’ saja.
Aqharie: Peguam cadangkan adakah ASP tahu ikut keterangan bersumpah dan siasatan Inspektor Nina, kedua-dua OKT 1 dan 2 tidak berada di Blok R dan sungai mengikut pertuduhan pindaan, ASP jawab setuju, boleh terangkan?
Nor Zaharuddin: Saya setuju sebab perkataan sepanjang masa
Aqharie: Dicadangkan kepada ASP bahawa mengikut pertuduhan menempatkan kedua-dua tertuduh yang berada lebih kurang 48 jam di Blok R adalah tidak tepat, ASP jawab bersetuju, boleh terangkan kenapa?
Nor Zaharuddin: Sebab saya pun tidak tahu dalam masa 48 jam mereka berdua berada di sana, pembabitan saya hanya pencarian Zayn Rayyan pada 5 dan 6 Disember.
© New Straits Times Press (M) Bhd