MOHD Saizul Hafifi Md Noor kembali dilantik membimbing skuad ragbi lelaki 15 sebelah (15s) negara untuk saingan playoff Kejuaraan Ragbi Asia 2025.
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU), Amir Amri Mohamad ketika mengumumkan pelantikan itu berharap Saizul Hafifi akan membawa Bunga Raya 15s ke tahap yang terbaik.
“Saizul Hafifi akan menggantikan Mohd Farid Syazwan Abu Bakar yang bersama dengan pasukan Bunga Raya untuk kempen Kejuaraan Ragbi Asia 2023 dan 2024 sebelum ini.
“Tugasan pertama Saizul Hafifi adalah membentuk Bunga Raya 15s yang bakal memulakan aksi 2025 dengan saingan playoff Kejuaraan Ragbi Asia pada April.
“Cuma, kita perlu menunggu keputusan mesyuarat Ragbi Dunia, Selasa ini, untuk menentukan Sri Lanka akan bertemu Malaysia atau tidak,” katanya.
Saizul Hafifi, bukan nama asing dalam arena ragbi negara apabila pernah mengemudi pasukan 7s negara meraih pingat emas di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dan pingat perak di Filipina 2019.
Sebagai rekod, Malaysia akan kembali beraksi di Kejuaraan Ragbi Asia 2025 sekiranya menang perlawanan playoff tersebut.
Skuad Bunga Raya 15s negara menamatkan saingan tahun lalu di tangga keempat dengan pasukan Hong Kong muncul juara, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kedua serta Korea Selatan ketiga.
Tambah Amir Amri lagi, MRU juga memutuskan untuk mengekalkan kedua-dua jurulatih pasukan lelaki dan wanita bagi pasukan tujuh sebelah (7s) negara.
“Nik Safuan Ismade Nik Man akan terus membimbing pasukan tujuh sebelah lelaki manakala Mohammad Faiz Samsukhidir akan terus bersama pasukan wanita.
“Tugasan mereka berdua adalah mencari kilauan pingat di Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.
“Selain itu tanggungjawab mereka juga adalah memastikan pasukan meraih keputusan lebih baik selepas negara menamatkan saingan Siri Ragbi Tujuh Sebelah Asia 2004 di kedudukan keenam pada 2024,” katanya.