Saintis dakwa temui bukti kewujudan makhluk asing

Saintis dakwa temui bukti kewujudan makhluk asing
Penemuan ini diperoleh daripada pemerhatian ke atas planet K2-18 b, yang terletak kira-kira 124 tahun cahaya dari bumi. - Agensi

Penemuan ini diperoleh daripada pemerhatian ke atas planet K2-18 b, yang terletak kira-kira 124 tahun cahaya dari bumi. – Agensi

LONDON – Sekumpulan saintis mendakwa telah menemui petunjuk terkuat setakat ini mengenai kewujudan kehidupan luar bumi, hasil analisis terhadap gas-gas yang mungkin hanya dihasilkan melalui proses biologi.

Penemuan ini diperoleh daripada pemerhatian ke atas planet K2-18 b, yang terletak kira-kira 124 tahun cahaya dari bumi.

Planet itu memiliki jisim 8.6 kali lebih besar berbanding bumi dan bersaiz 2.6 kali ganda, serta berada dalam zon boleh didiami, kawasan yang membolehkan kewujudan air dalam bentuk cecair.

Sebelum ini, Teleskop Angkasa James Webb (JWST) telah mengesan metana dan karbon dioksida dalam atmosfera planet berkenaan, penemuan pertama seumpamanya bagi molekul berasaskan karbon di zon boleh didiami.

Kini, saintis melaporkan penemuan dua lagi gas iaitu dimetil sulfida (DMS) dan dimetil disulfida (DMDS) yang hanya diketahui terhasil daripada organisma hidup, khususnya alga.

“Satu-satunya penjelasan yang sepadan dengan semua data JWST setakat ini ialah senario di mana K2-18 b merupakan ‘dunia hycean’ yang penuh dengan kehidupan,” kata ahli astrofizik Universiti Cambridge, Profesor Nikku Madhusudhan, pengarang utama kajian yang diterbitkan dalam Astrophysical Journal Letters.

Namun begitu, beliau menekankan bahawa masih banyak kerja perlu dilakukan dan penyelidik harus kekal terbuka terhadap kemungkinan lain.

Walaupun penemuan ini dianggap sangat mengujakan, saintis memberi amaran supaya masyarakat tidak terlalu terburu-buru membuat kesimpulan.

Data yang diperoleh sekadar petunjuk kepada proses biologi, bukan bukti kewujudan makhluk hidup atau organisma sebenar.

“K2-18 b merupakan dunia yang sangat menarik berdasarkan data yang kita ada. Namun kita perlu berhati-hati dan menguji setiap kemungkinan secara menyeluruh,” ujar Dr Christopher Glein dari Southwest Research Institute, Texas.

Beliau turut menyatakan bahawa kajian lanjutan terhadap data tersebut akan dimulakan seawal minggu depan bagi mendapatkan pengesahan lanjut. -Agensi

Scroll to Top