syafil.syazwan@hmetro.com.my
PERTARUNGAN tiga negara serumpun kembali memuncak dalam saingan program realiti nyanyian Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11).
Pengumuman barisan 14 pesertanya menyaksikan pembabitan Ronnie Hussein, Nai Dinamik, Fairuz Selamat, Yazid Lovehunters, Reshmonu, Liza Aziz, Illa Sabry, Sheila Abdul, Arrora Salwa, Zehra Zambri, Ning Baizura, serta legenda dari Indonesia iaitu Inka Christie, Dadali Dyrga dan The Lima yang dianggotai oleh Taura, Bony dan Arif.
Menariknya selepas meraikan sedekad kejayaan rancangan itu tahun lalu, musim baharu pastinya menjanjikan saingan sengit membabitkan artis yang pernah popular di era masing-masing suatu ketika dahulu.
Menggandingkan artis Malaysia, Indonesia dan Singapura program realiti ini kembali mengimbau nostalgia kegemilangan mereka dalam industri muzik.
Ia sekali gus mengubati rindu peminat yang ingin melihat artis kesayangan mereka bersinar semula di atas pentas dengan persaingan baharu.
Bagi penyanyi Liza Aziz, dia tergerak menyertai program itu selepas berduet dengan Noryn Aziz di pentas All Stars Gegar Vaganza tahun lalu.
Katanya lagi, dia sudah ditawarkan beberapa kali menyertai program popular itu begitupun kekangan masa menyebabkan dirinya tidak dapat menyatakan persetujuan mengambil bahagian.
“Saya banyak ‘travel’ untuk menyanyi di luar negara, masanya agak tidak sesuai.
“Namun kali ini saya rasa ini masa paling sesuai untuk saya menjadi sebahagian peserta program ini,” katanya.
Manakala Arrora Salwa yang bekerja dengan syarikat penerbangan pula mendedahkan dia tidak menyangka diberi peluang musim ini untuk menjadi peserta selepas beberapa kali menolak pelawaan produksi terbabit.
“Saya ambil cuti empat bulan untuk beri tumpuan pada program ini.
“GV pentas yang sangat besar dan semua orang nak, jadi bila saya dapat peluang ini kenapa tidak saya cuba buat ‘comeback’ untuk tunjukan kemampuan saya,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, GV11 kembali kepada konsep asal di mana mempertaruhkan membabitkan peserta yang pernah popular di era masing-masing dengan lagu popular.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas menyemak maklum balas penonton yang mahukan konsep
asal itu dikembalikan.
“Pada saingan GV9 dan GV10, kami campurkan yang masih aktif dan tidak aktif. Jadi, dari situ kami terima maklum balas yang mana penonton mahukan konsep penyanyi dengan ‘one hit wonder’. Jadi, kami bawakan semula GV ke format asal.
“Untuk memujuk peserta, Alhamdulillah dan terima kasih kerana sudi menjadi sebahagian program ini. Tak mudah memujuk legenda-legenda ini.
“Ada antara mereka dipujuk dalam proses yang berlangsung lima tahun lalu.
“Tapi, boleh dikatakan apabila mereka menyertai program ini, mereka dapat menunjukkan persembahan mereka di atas pentas. Alhamdulillah,” katanya.
Tambahnya, pihaknya terbuka dan setiap tahun tidak ada ketetapan kuota negara bezanya pada tahun ini mereka mendapat tiga peserta Indonesia untuk turut serta.
© New Straits Times Press (M) Bhd