Saingan 2021 musim terbaik KL City FC – Paulo Josue

Saingan 2021 musim terbaik KL City FC – Paulo Josue

KUALA LUMPUR – Berada pada kedudukan keenam liga dengan berbaki empat perlawanan perlu ditempuh, pemain tengah Kuala Lumpur (KL) City FC Paulo Josue mengakui saingan Liga Super musim ini bakal menjadi saat terbaik buat pasukannya.

Walaupun memiliki pengalaman membawa KL City FC muncul juara Liga Premier pada musim 2017 dan kekal bersaing dalam Liga Super dua musim berturut-turut, Josue mengakui ini kali pertama beliau melihat kestabilan terhadap prestasi pasukan tersebut.

Beliau berkata, kehadiran ramai pemain berkualiti musim ini banyak membantu pasukan, selain kekuatan di bahagian pertahanan menjadi tunjang di sebalik kejayaan meraih banyak mata penting terutama di laman sendiri.

“Musim ini boleh saya katakan pihak pengurusan lebih bijak dalam pencarian pemain malah mendapatkan seorang jurulatih (Bojan Hodak) yang begitu berpengalaman mengenai Liga Malaysia (Liga-M),” katanya dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), hari ini.

Menurut Josue, Hodak juga mengetahui banyak maklumat tentang pemain daripada pasukan lain serta jangkaan strategi dan ia memberikan kelebihan tambahan kepada pasukan.

Pada masa sama, Josue yang telah melalui pelbagai detik jatuh bangun bersama KL City FC sejak lima musim lepas, turut mengakui saingan tahun ini adalah musim terbaik yang dilalui bersama rakan sepasukan.

Pencapaian terbaik Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super yang bermula pada 2004 sebelum dijenamakan kepada KL City FC ialah berada di kedudukan kesembilan pada musim 2010.

Josue ketika ini merupakan penjaring terbanyak KL City FC serta ketiga terbanyak dalam saingan Liga Super apabila berkongsi kedudukan dengan penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kpah Sherman dengan keseluruhan sembilan gol, selain turut merekodkan empat bantuan jaringan.

Beliau turut boleh dikatakan antara pakar sepakan percuma di Liga-M musim ini apabila sebahagian jaringannya berjaya dihasilkan melalui situasi itu.

Dalam pada itu, Josue mengakui tidak terbeban dengan harapan menjaringkan gol terletak di bahunya setelah KL City FC tidak dapat menggunakan khidmat pemain import dari Nigeria, Kyrian Nwabueze ekoran kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL).

“Saya dan Romel Morales lebih banyak beraksi di bahagian hadapan, biarpun kami berdua bukanlah seorang penyerang tetapi kami cuba sebaik mungkin untuk bantu pasukan.

“Rakan-rakan sepasukan juga membantu seperti J. Partiban, Hadin Azman dan Zhafri, malah Hodak memberikan kebebasan kepada kami apabila dalam situasi lakukan serangan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Scroll to Top